Saya mewakili GERAK Negeri Pahang sekali lagi merafak sembah Kebawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Agong untuk menilai semula kedudukan PM sekarang.
Bukan rahsia lagi bahkan dunia mengetahui akan kegagalan PM
sekarang untuk menguruskan negara ini dengan baik. PM telah mengangkat sumpah
di hadapan Tuanku dan berjanji untuk menjalankan tugas dan amanah yang dirampas
dari mandat rakyat, ternyata jawatan yang diperolehi hasil dari pengkhianatan
itu pun gagal dilaksanakan.
Cuba sebut satu sahaja kejayaan Muhyiddin. Beri duit BPN kepada
rakyat waktu Covid? Dapat menjadikan Mak Cik Kiah kaya raya dengan meniaga
goreng pisang? Dapat mengeluarkan pelaburan dari dalam negara ke luar negara?
Lebih banyak masjid ditutup? Lebih banyak bazar ditutup? Lebih ramai
penganggur? Aktiviti judi berjaya ditingkatkan? Miliki menteri paling ramai
dalam sejarah? Cuba sebut mana satu kejayaan Muhyiddin?
Rakyat hanya mengharapkan agar Istana memahami perasaan rakyat
sekarang. Negara kita perlukan seorang pemimpin yang rakyat redha atau paling
tidak direstui oleh Ahli-Ahli Parlimen. Berapa jumlah MP yang restu Muhyiddin
sekarang? Melantik Imam solat pun perlu direstui oleh makmum. Ini kan pula
jawatan pemimpin negara. Jangan pandang remeh dan sambil lewa kerana kesannya
amat besar kepada rakyat dan negara.
Situasi politik dan ekonomi negara sekarang amat membimbangkan.
Apakah kita perlu tunggu kerosakan dan kemusnahan lebih teruk berlaku baru kita
mahu bertindak? Apabila negara ini hancur, tiada siapa yang boleh selamat
termasuk di singgahsana. Waktu itu, penyesalan tidak berguna lagi.
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Ketua GERAK Pahang