PN MENUJU KEJATUHAN, PEMIMPIN BERSATU PUN YAKIN DEMIKIAN

 



Melihat kemarahan netizen terhadap kerajaan dan Mahiaddin Md Yasin sekarang sepertinya kerajaan PN ini sedang menuju kejatuhan dan bakal tumbang dalam PRU akan datang.

Meskipun Najib Razak juga pernah dibenci sebelum PRU14 lalu, tetapi apa yang berlaku kepada Mahiaddin ternampak lebih parah daripada itu.

Di media sosial, di mana lebih separuh daripada jumlah rakyat negara ini mempunyai akaun masing-masing untuk mereka menulis, meluahkan perasaan, berkongsi cerita dan memperolehi maklumat, luahan kemarahan itu jelas begitu ketara sekali.

Dalam Mahiaddin bertanya, adakah kerajaan zalim kerana tindakan-tindakan yang diambil itu, sedangkan kata beliau, tujuannya ialah untuk menjaga nyawa rakyat, tetapi bagi kebanyakan rakyat, ia memang ada ciri-ciri kezaliman yang nyata.

Ini kerana, sementara beberapa sekatan dikenakan untuk menyambut hari kemenangan umat Islam – Hari Raya Aidilfitri – mengapa larangan memasuki kedai, pasar dan pusat membeli-belah tidak pernah disekat atau dihadkan jumlahnya?

Apakah virus Covid19 hanya ada di masjid dan surau saja?

Dalam hal ini, apa salahnya jika dikekalkan saja jumlah jemaah yang boleh ke masjid dan surau seperti sebelum ini dengan terus mematuhi SOP ditetapkan, bukan dihadkan antara 20 hingga 50 orang sebagaimana diumumkan sendiri oleh Mahiaddin?

Di pihak UMNO, terutama Najib Razak dan beberapa pemimpinnya, lontaran di media sosial mereka lebih ke arah menambahkan lagi garam terhadap luka serta kemarahan rakyat kepada PN dan Mahiaddin, bukan menolong bantu memulihkan keadaan.

Seorang pemimpin Bersatu ketika berbual-bual dengannya, tanpa berselindung mengakui, kedudukan Mahiaddin dan kerajaan PN sekarang ini dalam keadaan yang sangat buruk.

Katanya, kerajaan ini ternampak bakal terbalik dan hakikat ia akan tumbang sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Menurut beliau, apabila rakyat sudah mula marah, sama seperti yang mereka tunjukkan kepada BN dalam era Najib Razak sebelum PRU14 dahulu, penyelesaiannya bagi mereka hanyalah dengan pertukaran atau pembentukan sebuah kerajaan baharu.

“Apabila kerajaan sudah dianggap gagal oleh rakyat, apa pun yang cuba dilakukan Mahiaddin untuk memperbaiki keadaan sudah tidak berguna lagi.

“Beliau sudah terlambat untuk memulihkan kepercayaan rakyat, sepatutnya ia dilakukan sejak dahulu lagi, bukan ketika keadaan sudah parah seperti sekarang ini,” tambah pemimpin berkenaan lagi.

Pemimpin Bersatu itu, selain menyalahkan Mahiaddin yang tidak agresif dan lebih banyak membisu dalam semua isu, turut meletakkan kesalahan kepada semua pemimpin Bersatu yang memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan kerana gagal berfungsi dengan sebaiknya.


Dengan itu, rakyat kini memang memendam rasa dan hanya menunggu masa saja untuk menukar kerajaan yang dianggap tidak membina ini.

Ketika sambutan Hari Raya 1 Syawal semalam juga, luahan kemarahan terhadap Mahiaddin dan kerajaan gagal PN ini turut diserlahkan oleh sekumpulan anak-anak muda di Batu Pahat, Johor.

Tindakan menaikkan poster, kain rentang dan mengecat dinding dengan tulisan #KerajaanGagal bukan lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Sebagaimana ia meriah di media sosial, di pelbagai tempat di dunia nyata juga ia sudah mula dilakukan secara terang-terangan dan terbuka.

Lebih malang lagi, ketika ini juga seolah-olah tidak ada sesiapa yang mampu membela atau mempertahankan kegagalan kerajaan yang dicemuh dan dimarahi rakyat sepanjang masa, siang dan juga malam.

Daripada kalangan Bersatu sendiri, baik pemimpin, pemain media sosialnya atau pasukan media Perdana Menteri, semua mereka terlihat tidak mampu berbuat apa-apa lagi untuk menahan kemarahan rakyat itu.

“Jawatan yang mereka pegang dan gaji lumayan yang diterima tidak sepadan dengan sumbangan untuk mempertahankan kerajaan dan membela Mahiaddin,” tegasnya. 


(ShahbudinHusin 14/05/2021)