Demo ‘kerajaan gagal’: Fikir kenapa, jangan nak tangkap sahaja, kata Puad


Kenapa pada hari raya pertama rakyat sanggup menunjuk perasaan, tanya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.

PETALING JAYA: Puad Zarkashi menggesa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin fikir kenapa rakyat bertindak menunjuk perasaan lagi-lagi ketika Aidilfitri, susulan penahanan individu yang dikaitkan dengan himpunan ‘kerajaan gagal’ di Johor.

“Sepatutnya yang perlu difikirkan kenapa pada hari raya pertama rakyat sanggup buat perkara tersebut. Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu dalam kenyataan.

Semalam, seorang lelaki berusia 21 ditahan selepas video dan gambar suatu tunjuk perasaan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat tersebar.

Terbaharu, sebanyak 20 penduduk setempat dipercayai terlibat ditahan. Polis percaya kira-kira 40 orang terbabit.

Puad menarik perhatian kerajaan bahawa tunjuk perasaan rakyat bukan di Parit Raja sahaja.

“Ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk ‘Kerajaan Gagal’. Semoga perdana menteri ke-8 berpihak di bumi nyata.”

Dalam pada itu, Puad menepis dakwaan mengatakan beliau mempunyai kaitan dengan himpunan itu.

“Mungkin, pertama kerana saya ketua Umno Bahagian Batu Pahat. Kedua, kerana saya konsisten mengatakan kerajaan perdana menteri ke-8 memang ‘kerajaan gagal’.

“Perlu dijelaskan bahawa Parit Raja berada dalam kawasan Parlimen Seri Gading, bukan Parlimen Batu Pahat, maka jangan tuduh semberono,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 144 dan 269 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

Sementara itu, di pihak Bersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Muhammad Faiz Na’aman, menyoal adakah Puad menyokong “anarki”, susulan kenyataan beliau tentang tunjuk perasaan di Batu Pahat itu.

Beliau menepis penunjuk perasaan terbabit sebagai “sekumpulan Mat Rempit” yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

“Adakah sokongan terhadap para pelanggar undang-undang negara itu turut direstui kepimpinan Umno yang lain? Memusuhi kerajaan yang dianggotai tokoh-tokoh pemimpin mereka sendiri?” katanya dalam kenyataan.

Faiz berkata sokongan kepada “para perusuh” bagaikan penentangan terhadap seruan Yang di-Pertuan Agong supaya rakyat semua beraya di rumah semasa Aidilfitri.

“Umno wajar ambil tindakan tatatertib ke atas mana-mana ‘binatang politik’ yang kuat menghasut ketika darurat masih diperkenan Agong ketika ini,” katanya.

No comments: