Khalifah Harun dan Bahlol

 










Ada orang bertanya kepada saya, pernahkah dalam sejarah Islam, seseorang bisa mencelik dan menjagakan raja dari ketidakpedulian, ketidakpekaan, dan ketidakprihatinan masalah rakyat. Saya menjawab ada.

Nama seorang yang berani itu ialah Bahlul, dan saya akan menggunakan ejaan Bahlol untuk karangan ini. Ia adalah nama gelar untuk Wahab ibn Amr, salah seorang sahabat Musa Al-Kadhim. Beliau hidup ketika zaman sultan 1001 malam, iaitu Khalifah Harun Al-Rashid.

Bahlol seorang hakim, ulama, dan menurut saya seorang sasterawan (dari genre satira) yang dikatakan latar belakangnya seorang hartawan.

Dalam erti kata lain, Bahlol ini dari kaum kayangan, cuma perangai beliau tidak kayangan. Atau beliau berasal puak kayangan tetapi menggunakan kekayangannya itu untuk menegur sultan ketika itu. Oleh sebab dia dari golongan kayangan, dia tidak perlu kenyang dengan gelar, sogok, dan upah emas istana. Kalau tidak kerana dia itu murid Musa al-Kadhim (seorang sheikh sufi, yang membawa kepada Ja’far Al-Sadiq) saya tidak fikir Bahlol ini boleh menjadi seorang ulama dan satirawan yang tajam.

Untuk orang Melayu, bahlol diertikan oleh Kamus Dewan sebagai “bangang, bodoh, tongong; tak ada cita-cita”. Demikian juga menurut Kamus Besar Indonesia, bahlol itu “bodoh”. Sebenarnya bahasa Melayu tidak juga salah, ini kerana orang Melayu merujuk kepada kata “buhlul” yang dalam bahasa Arab bermakna bodoh, dan gila. Saya akan tunjukkan bagaimana kata bahlol itu dihubung dengan makna bodoh di hujung tulisan ini.

Mungkin juga ia terjadi kerana kesalahan membaca baris apabila ditulis perkataan itu dalam Jawi dan kemudian terbawa-bawa hingga kini. Saya harap satu hari nanti Dewan Bahasa dan Pustaka boleh membetulkan konteks perkataan ini supaya lebih jelas.

Baik, apa yang Bahlol lakukan kepada Sultan Harun?

Sebenarnya terdapat 1001 macam kisah antara Bahlol dan Harun. Akan tetapi ada satu kisah yang saya akan jejerkan di sini untuk menunjukkan bagaimana Bahlol, seorang ulama berani (baca: bukan ulama tahnik atau ustaz yang don atau yang jenis rentas negeri) bila berdepan dengan seorang raja. Ini pertemuan pertama kali Bahlol dan rajanya. Bahlol mensekolahkan seorang sultan yang besar. Siapakah yang tidak tahu besarnya si Harun Al-Rashid?

Jadi Bahlol baru pulang dari berhaji dan berehat di Kufah. Ketika Bahlol sedang melepak di serambi rumahnya, perarakan sultan melintasi jalan di hadapan kediamannya. Bahlol berteriak; “Harun! Harun! Harun!”

Benar, tiada gelar “tuanku”.

Harun yang terdengar laungan itu serta-merta meruok. Maka Harun bertanya kepada pengiringnya siapakah yang menamakannya hanya dengan nama itu, sungguh kurang ajar sekali. Pengiring yang cemas pantas menjawab, ‘Oh si Bahlol gila itu, tuanku.’

Maka Sultan menarik langsir tandu dari puncak unta (bayangkan macam Mercedes Kelantanlah lebih kurang) lantas bertanya dengan niat untuk melayan kegilaan Bahlol, “Kamu kenal beta kah?”

Bahlol menjawab yakin, “Kenal”.

Harun mulai digeli rasa seronok melayan orang yang menurutnya gila isim. Unta pun dihentikan, dan ini barangkali peluang untuk baginda kelihatan merakyat. Kerana, mana ada lagi sultan boleh menghentikan kenderaannya untuk meladeni seorang gila di jalanan?

Sultan pun bertanya kepada Bahlol, “Maka siapakah beta?”

Jawab Bahlol begini, “Oh engkau lah yang akan dipertanggungjawabkan dengan segala penindasan yang berlaku di Timur, meskipun engkau sedang berada di Barat. Engkau akan disoal di hari akhirat kerana engkau itu raja negeri ini.”

Harun yang terkena itu pun (pura-pura) menangis. Ramailah orang dari kejiranan Bahlol itu datang menyaksikan kejadian aneh tersebut. Oleh sebab makin ramai rakyat yang tiba untuk mengambil serta (bayangkan kalau hari ini ia dirakam dalam IG Story) maka Harun pun harus terus melayani Bahlol.

Mungkin dia menyesal memulainya, tetapi kerana sudah terlanjur mencetuskannya, maka Harun tidak boleh berhenti. Justeru Harun bertanya kepada Bahlol, “Apa pandangan kamu kepada beta?”

Jawapan Bahlol begini, “Bandingkan diri engkau dengan Al-Quran. Dari surah Al-Infitaar ayat 13 dan 14; ‘…sesungguhnya: orang-orang yang berbakti, tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang’.”

Harun kaget kerana jawapan Bahlol itu digulung dari ayat suci. Maka raja yang tidak mahu kalah pun menyahut, “Tetapi bagaimana dengan macam-macam kebajikan yang beta pernah lakukan?”

Bahlol membalas pula dari sebahagian ayat 27 surah Al-Maa’idah; “‘Hanyasanya Allah menerima dari orang-orang yang bertaqwa’.”

Harun yang menyedari kian orang ramai berhenti melihatkan dialog itu mulai berasa resah dan mengilas pula, “Akan tetapi bagaimana dengan beta dari keturunan baik-baik yang ada pertalian darah dengan keturunan Rasulullah?”

Bahlol menyahut lagi, kali ini jawapan Bahlol itu dari ayat 101 surah Al-Mu’minuun; “…apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan’.”

Harun yang panik kini menghujahkan, “Tetapi Nabi Muhammad memberikan syafaat”.

Bahlol mengatakan pula, kali ini memetik dari ayat 109 surah Taha; “Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.”

Harun yang serasa kalah ingin mempamerkan kedermawanannya telah segera meningkah, “Apakah yang kamu mahukan hai si gila?”

Bahlol main drama dengan memberi reaksi kira-kira begini, “Ampuni dosa saya dan bawa saya ke syurga.”

Harun berasakan Bahlol kini terperangkap dan akan terserlah kegilaannya, lantas gesit menjawab; “Beta tiada kuasa menghantar orang ke syurga. Tetapi pengiring beta menjelaskan yang kau ada banyak berhutang dengan orang. Kau mahu beta membayarkannya?”

Reaksi Bahlol cekatan dan ia membalas, “Hutang tidak boleh membayar hutang. Apa yang engkau miliki Harun adalah datangnya dari (cukai dan kerja keras) rakyat, dan engkau bertanggungjawab memulangkannya kembali kepada rakyat.”

Harun yang kian putus asa melayani seorang yang ‘gila’ cepat berhujah pula, “Kamu mahu beta menanggung kamu seumur hidupkah?”

Di sinilah jawapan terkenal yang diberikan oleh Bahlol seorang satirawan kepada seorang sultan; “Saya hamba Allah, dan Dia memberi saya segala keperluan, engkau raja-raja menyangka Allah hanya mengingati kamu kerana kamu seorang raja lantas melindungi kamu, dan Allah itu melupakan saya?”

Dalam sejarah, terdapat banyak lagi dialog Bahlol dan Harun selepas itu. Malah Harun yang terkesima dengan perangai gila satirawan ini dikatakan kerap memanggil Bahlol ke istana untuk berbalas hujah, atau kira-kira semacam melayankan kerenah ‘gila’ Bahlol. Kadang malah Sultan meminta Bahlol mengadili sesuatu kes yang mengakibatkan Bahlol dirujuk juga orang ramai sebagai hakim.

Memang Sultan merasakan Bahlol itu orang gila atau bodoh yang banyak menjawab. Akan tetapi perlahan-lahan sebenarnya reputasi Bahlol merebak dalam kalangan orang awam dan masyarakat. Setiap dialog Bahlol itu ‘kebetulan’ berlaku secara terbuka dan mulai dicatat orang. Seperti kisah ini.

Sebetulnya kalau tidak kerana Bahlol orang akan selamanya menyangka Harun Al-Rashid itu raja yang adil dan dermawan. Padahal Harun itu ada ramai pengiring dan pekerja istana yang mencipta dan membina imej baiknya. Mujur ada Bahlol, maka rakyat tatkala itu kenal siapa Harun. Pun ramai juga yang tidak kenal perangai baginda. Itulah sebabnya kadang-kala kita membaca dan mendengar kisah-kisah indah dan kebaikan Harun dari Hikayat 1001 Malam (satu naratif muluk-muluk ala Hikayat Hang Tuah).

Jadi, yang mengenal Bahlol sahaja mengetahui betapa bobrok, bangkut, dan bejatnya Harun Al-Rashid. Seperti biasa ada puak yang akan menutup kisah-kisah jahat dan zalimnya Harun (seperti membunuh Musa Al-Kadhim). Kaedah perunding imej istana Harun ini menutup kebenaran ialah dengan memburukkan nama Bahlol. Maka Bahlol itu bodoh, tongong, bangang, atau tidak ada cita-cita.

Itulah yang akhirnya kita orang Melayu warisi, penipuan 1001 malam. Harun itu dikatakan adil padahal tidak pun. Bahlol pula dikatakan seperti bodoh. Padahal ia sebaliknya.

Selamat hari raya.