Tangguh SPM, STPM proses masuk ke IPT 2021 tunggang langgang?
Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional beberapa kali menggantung sesi persekolahan rendah dan menengah sepanjang 2020 dan terbaharu kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bakal menghuru-harakan proses kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun hadapan.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkta, penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hingga 22 Februari 2021 dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hingga 8 Mac 2021 menyebabkan kemasukan ke IPT tempatan akan tertangguh sehingga bulan September 2021.
Namun isu yang kritikal, katanya, dengan SPM dan STPM yang akan berakhir pada hujung Mac 2021, bermakna kertas peperiksaan perlu disemak, ditanda, serta mengesahkan keputusan harus mengambil masa kurang dari tiga bulan, iaitu paling awal pada bulan Jun.
“Ini bermaksud kita ada bulan Julai untuk Unit Pengambilan Universiti (UPU) memasukkan keputusan ke dalam sistem dan bulan Ogos untuk pelajar mendapatkan keputusan mereka pada bulan September. Jangan lupa, pada masa ini juga UPU akan berhadapan dengan keputusan dari pelajar matrikulasi dan asasi.
“Kerja-kerja ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa menggunakan teknologi baru atau inovatif untuk menyemak kertas peperiksaan, pengeluaran keputusan dan permohonan pelajar ke universiti.
“Sistem semasa tidak akan dapat menanganinya melainkan tarikh pengambilan ke universiti ditangguhkan seperti yang telah dilakukan dengan peperiksaan,” kata Nik dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Nik Nazmi yang juga merupakan Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan melontarkan beberapa cadangan yang harus diambil oleh kementerian untuk membantu pelajar dan guru mengatasi masalah tersebut.
Katanya, kementerian harus mewujudkan satu pasukan dengan pemegang taruh dan pakar dari dalam serta luar kerajaan untuk membuat versi SPM dan STPM yang diperkemaskan.
“Kerajaan harus membatalkan semua syarat kerja kursus untuk kumpulan SPM 2020/2021 dan 2021, kecuali untuk mata pelajaran praktikal sangat penting seperti vokasional.
“Selain itu, kenal pasti bahagian kurikulum mana yang harus diajar secara bersemuka dan yang boleh dilakukan secara dalam talian.
“Penciptaan kandungan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian harus mempunyai perancangan. Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian boleh membantu. Subjek yang boleh dinilai atau mampu diadakan peperiksaan dalam talian, perlu diputuskan.
“Jemaah Nazir juga harus bekerjasama dengan sekolah untuk membantu mengatur kelas atau bahkan pergi ke lapangan dan mengajar. Kita juga boleh merekrut guru sementara dan interim, sebagaimana saya bangkitkan dalam pertemuan rombongan PH bertemu Menteri Kewangan (sebelum ini) untuk membantu pelajar sepenuh masa dengan pembelajaran secara fizikal atau dalam talian,” katanya lagi.
Menurut Nik Nazmi, kumpulan pelajar sesi 2020 merupakan anggota termuda dari “Generasi Covid”, mereka mungkin memerlukan pemantauan dan bantuan untuk masa yang lama.
Sebagai permulaan, katanya, kerajaan harus meningkatkan kapasiti matrikulasi dan tingkatan enam dalam masa terdekat. Ini untuk membantu mempersiapkan pelajar Generasi Covid dengan lebih baik, kerana mereka telah kehilangan satu tahun persekolahan untuk pendidikan tinggi.
Manakala untuk kursus diploma, kolej dan universiti mesti dipertimbangkan untuk memperkenalkan kursus pengajian pra-pengajian tinggi (dengan kos minimum) untuk membantu kedua-dua kumpulan SPM dan STPM mengikuti pengetahuan yang diperlukan dalam bidang yang berkaitan.