Potong 10 peratus gaji menteri, salurkan kepada tabung Covid-19

 






Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan supaya pemotongan gaji sebanyak 10 peratus dikenakan kepada kesemua menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menggunakan dana itu untuk tabung Covid-19.

Beliau berkata, elaun yang diterima Ahli Parlimen kerajaan yang menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu dipotong sehingga 50 peratus.

"Saya mencadangkan elaun dan yuran pengerusi mana-mana yang berhormat yang menjadi pengerusi GLC dikurangkan sebanyak 50 peratus dan pengurangan disalurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat atau CSR kepada tabung Covid-19, sebab YB telah bergaji pun.

"Perdana Menteri, menteri kanan, menteri-menteri dan timbalan menteri pun perlu dipotong 10 peratus.

"Pentingnya belanjawan terbesar dilihat sebagai amanah dan kita mengagihkan kepada yang berhak dan terdesak supaya manusia terpelihara dan kita berlaku adil.

"Saya harap dana operasi dan dana komuniti pusat khidmat parlimen diberi sama rata kepada pembangkang dan kerajaan, saya rasa MP pembangkang tidaklah rasa gundah untuk memotong 10 peratus kepada tabung Covid-19, dengan syarat semua MP kerajaan juga tertakluk kepada potongan yang sama," katanya di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Wan Azizah juga menegur Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Aziz yang membuat ugutan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

"Demi kepentingan rakyat dan negara, saya berharap jangan membuat kenyataan mengugut bahawa bayaran gaji penjawat awam tidak akan dibayar seandainya Belanjawan tidak diluluskan.

"Jangan begitu, kita tidak pernah pertikai emolumen penjawat awam. Belanjawan mestilah inklusif bukan eksklusif, komprehensif bukan terhad atau sempit.

"Belanjawan memperjuangkan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara, dan membendung wabak dengan efektif," katanya.

 

No comments: