68 ribu pekerja pusat beli belah bakal menganggur
Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Tan Sri Teo Chiang Kok meramalkan 68,000 pekerja di pusat beli-belah bakal menganggur jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus dilanjutkan.
Menurutnya, jualan di pusat-pusat perniagaan yang beroperasi di dalam kompleks di seluruh negara hanya mencatatkan perolehan sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding kebiasaan sebelum ancaman pandemik sejak pandemik Covid-19.
“Kesan PKPB kali kedua jauh lebih besar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu,” dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Beliau menjelaskan ketika PKP sebelum ini, majoriti peniaga masih ada simpanan untuk menyokong kelangsungan perniagaan manakala masyarakat pula ada lebihan tunai kerana moratorium automatik enam bulan.
Ujarnya, ramalan tersebut semakin terbukti melalui penutupan operasi jenama-jenama besar seperti Robinsons Dept. Store, pawagam, beberapa rangkaian francais serta jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan.