Jho Low percaya tidak lakukan kesalahan, dakwa hanya pinjam wang 1MDB
Astro Awani
November 16, 2020
Jho Low berkata wang yang dipinjam dari 1MDB itu dibelanjakan antara lain untuk membeli hartanah mewah, lukisan, jet peribadi, kapal layar dan arak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang menjadi 'mastermind' dalam skandal 1MDB percaya dia tidak melakukan kesalahan dan hanya meminjam wang daripada 1MDB.
Pengakuan Jho Low itu dibuat melalui rakaman perbualan telefon dengan bekas pegawai kerajaan di bawah pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didedahkan melalui sebuah dokumentari disiarkan stesen penyiaran Al Jazeera.
Dokumentari bertajuk 'Jho Low - Hunt for a Fugitive' yang berdurasi selama sejam itu dimulakan dengan panggilan telefon antara Jho Low dan kerajaan malaysia antara Mei hingga November 2018.
Tegas Jho Low, dia hanya meminjam wang berbilion dolar berkenaan daripada 1MDB untuk dirinya.
"Saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya melalui satu rakaman perbualan telefon yang diperoleh secara eksklusif oleh Al Jazeera.
Tambahnya, wang tersebut dibelanjakan antara lain untuk membeli hartanah mewah di seluruh dunia, karya seni, jet peribadi, kapal layar besar dan arak mahal.
"Semua ini sebenarnya hanya pinjaman, secara langsung atau tidak langsung, tetapi, akhirnya, saya rasa, masanya telah tiba, kami mahu membantu mengembalikan semula aset ini.
"Dan sebagai balasan atas kerjasama yang diberikan, kami mahu meneruskan kehidupan tanpa berdepan sebarang tuduhan," katanya.
Bekas ejen khas FBI, Debra LaPrevotte, yang terlibat dalam peringkat awal penyiasatan 1MDB dan kini menjadi penyiasat kanan NGO anti-kleptokrasi The Sentry, menolak dakwaan Jho Low.
"Jika benar ia tidak melibatkan sebarang salah laku, maka tidak perlu dipulangkan semula aset berkenaan, bukan? Sudah pasti tiada aset yang akan dirampas.
"Ini melucukan. Seolahnya, jika saya terus bercakap mengenai pembohongan ini, mungkin seseorang akhirnya akan mempercayai saya," ujar LaPrevotte.
Sementara itu, bagi bekas Ejen FBI, Bill McMurry, dia percaya satu-satunya cara Jho Low dapat terus melarikan diri adalah melalui rasuah dan dakwanya, bantuan 'orang atasan'.
"Saya percaya dalam tempoh panjang ini, akan ada orang dari peringkat tertinggi dan berkuasa yang membolehkan dia kembali ke Malaysia tanpa sebarang tuduhan," ujarnya.
Dalam pada itu, Jho Low turut meletakkan kesalahan terhadap 1MDB dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada ketika itu.
Dakwanya, semua kelulusan melibatkan 1MDB dibuat Najib sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab pada ketika itu.
Jho Low juga memberi sokongan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, bahawa sebahagian besar daripada satu bilion dolar wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib bukan derma daripada Raja Arab Saudi Raja Abdullah, seperti didakwa bekas perdana menteri itu.
Dakwanya, derma tersebut adalah hanya sebahagian kecil daripada jumlah tersebut.
Sehingga kini, Jho Low masih diburu dan polis percaya ahli perniagaan itu masih berada di Macau, walaupun perkara itu dinafikan pihak berkuasa China.