Dalam beberapa ucapannya sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad sering menyebut beliau adalah seorang yang tidak pandai memilih penggantinya.
Entah kenapa, pilihan pengganti saya selalu saja salah, demikian lebih kurang kata-kata Tun Mahathir.
Beliau menyebut perkara tersebut sebagai merujuk kepada Tun Abdullah Abdullah Badawi yang dipilihnya untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri pada 2003 dan kemudian Najib Razak yang diusahakannya untuk menggantikan Tun Abdullah Badawi pada 2009.
Kedua-dua pemimpin tersebut telah dijatuhkan oleh Tun Mahathir sendiri kerana beliau tidak puas hati dengan prestasi mereka, selain kerana tidak lagi memperdulikan kata-katanya setelah mereka berada di puncak kuasa.
Setelah Najib dijatuhkan pada 2018, Tun Mahathir sendiri menjadi Perdana Menteri buat kali kedua bersama PH dan dengan sokongan tidak berbelah bagi oleh Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di dalam penjara.
Setelah Tun Mahathir meletak jawatan dan PH tumbang pada Februari 2020 lalu, jawatan Perdana Menteri seterusnya diisi oleh Muhyiddin Yassin sehinggalah sekarang.
Walaupun Tun Mahathir ternampak kecewa dengan gerakan politik Muhyiddin dan melabelnya sebagai pengkhianat, tetapi beliau juga pernah bersetuju memberi laluan untuk Presiden Bersatu itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripadanya.
“Ada kemungkinan beliau dicalonkan (jadi PM). Jika semua pilih Muhyiddin, saya OK,” katanya kepada media pada 27 Februari lalu.
Dalam erti kata lain, sebagaimana Tun Abdullah Badawi yang dipilihnya sendiri untuk menggantikan tempatnya dan Najib yang dinaikkannya selepas itu, berjayanya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga adalah melalui pilihan secara tidak langsung oleh Tun Mahathir.
Hari ini, sebagaimana terbukti tindakan Tun Mahathir memilih Tun Abdullah Badawi dan menaikkan Najib adalah pilihan yang salah sehingga beliau terpaksa menjatuhkan kedua-duanya, Muhyiddin juga adalah pilihan salah beliau yang berikutnya.
Malah, Muhyiddin jauh lebih teruk berbanding Tun Abdullah dan Najib di mana hanya dalam tempoh lapan bulan saja kepimpinannya sudah sarat dengan pelbagai masalah, rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat.
Sebagaimana dilakukannya terhadap Tun Abdullah Badawi dan Najib, Tun Mahathir juga sedang berusaha menjatuhkan Muhyidddin melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Walaupun sehingga ini belum ternampak ada tanda-tanda kejayaan ke arah mengemukakan usul tersebut, namun dunia tahu bahawa Muhyiddin tiada sokongan majoriti berikutan cadangannya mahu mengisytiharkan darurat serta menggantung Parlimen.
Hakikat yang nyata di sini, sebagaimana Tun Abdullah Badawi dan Najib merupakan pemimpin yang bermasalah kepada negara kerana merupakan pilihan yang salah oleh Tun Mahathir, Muhyiddin juga termasuk dalam kategori yang sama lantaran turut direstui oleh oleh Tun Mahathir.
Dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat dan memberi kestabilan kepada politik negara, Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang dilihat satu-satunya pilihan yang terbaik mengemudi negara ketika ini.
Bagi tujuan tersebut, Anwar malah disokong oleh pelbagai pihak, termasuk daripada dalam kerajaan PN sendiri.
Tetapi, tidak seperti Tun Abdullah Badawi, Najib dan Muhyiddin, Tun Mahathir sentiasa saja berusaha menghalang kemaraan Anwar.
Baik ketika dalam UMNO, sewaktu bersama PH dan sehingga dalam keadaan tidak berparti sekarang ini, sisa nafas dan denyut nadi Tun Mahathir adalah semata-mata untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Maknanya apa?
Tidak lain, tentangan itu memberi maksud Anwar adalah pilihan yang tepat dan terbaik untuk negara.
Kalau yang dipilih dan direstui Tun Mahathir terbukti semuanya merupakan pilihan yang salah dan mendatangkan masalah, maka tentulah yang bukan pilihan dan tidak direstuinya itu sebenarnya pilihan yang tepat dan terbaik.
Lantaran itu, khususnya buat kelompok tertentu dalam PH, belajarlah melupa dan mengabaikan Tun Mahathir serta tidak lagi memperdulikan kata-katanya yang terus menolak Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Lebih buruk, dalam usaha terakhirnya menolak Anwar dengan mempromosi kerajaan perpaduan kononnya, Tun Mahathir jelas mahu menaikkan dirinya sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
Dan memilih diri sendiri ini adalah pilihan yang jauh lebih salah dan merosakkan berbanding tindakannya memilih Tun Abdullah Badawi, menaikkan Najib dah merestui Muhyiddin sebelum ini.
(Shahbudindotcom 17/11/2020)