Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan tindakan mana-mana individu keluar dari AMANAH tidak harus dikaitkan sebagai reaksi kecewa dengan sikap parti itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden AMANAH berkenaan berkata, cakap-cakap kononnya AMANAH mengambil arus berbeza menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tindakan berniat jahat memburukkan imej parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Apatah lagi, ujar Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia AMANAH itu, dengan ‘menyerang’ peribadi Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sebagai penyebab perpecahan dalam AMANAH.
“Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan AMANAH ini secara sengaja atau tidak dan sekali gus merosakkan kesatuan dalam PH yang merugikan.
“Jangan kaitkan sama sekali tindakan individu seperti Adun Meru (Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar) atau sesiapa sahaja dari ahli AMANAH sebagai respons kepada ‘kekecewaan sikap parti AMANAH terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.’
“Adun Meru tidak wajar membayangkan demikian walau sekelumit pun kerana hakikatnya tindakan YB tersebut adalah atas pilihan dan masalahnya tersendiri dan tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan AMANAH terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak kelmarin, tular dakwaan bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH tersebut menyertai PKR dengan mendaftar di bawah Cabang Petaling Jaya.
AMANAH Selangor kemudiannya mengesahkan Fakhrulrazi meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.
Tindakan Fakhrulrazi itu, kata Setiausaha AMANAH Selangor, Kamarul Hisham Yeop Hashim, menyebabkan semua jawatan parti yang disandang terbatal serta-merta.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, AMANAH akan tetap konsisten dengan pendirian setia bersama rakan-rakan seperjuangan dalam PH.
Dalam masa sama, beliau berharap kesetiaan AMANAH itu tidak disia-siakan dengan mengambil ringan soal individu AMANAH yang mempunyai kepentingan diri bertukar rumah rakan sesuka hati.