Terengganu catat kadar tertinggi, diikuti Kelantan, Kedah dan Perlis; lebih 130,000 kes direkodkan setakat Jun lalu
Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar penagihan serta penyalahgunaan dadah dan bahan tertinggi di Malaysia, dengan Terengganu mendahului senarai berdasarkan statistik sehingga Jun 2026.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Terengganu merekodkan kadar 735 individu bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan dengan 694, Kedah (669) dan Perlis (646).
Secara keseluruhan, sebanyak 130,307 kes penagihan dan penyalahgunaan dadah serta bahan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan, bersamaan kadar 381 individu bagi setiap 100,000 penduduk.
Statistik itu berdasarkan data bersepadu daripada empat sumber utama, iaitu AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat pemulihan persendirian.
Dalam kenyataan media bertarikh 20 Oktober, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata kedudukan empat negeri berkenaan menunjukkan keperluan untuk memberi perhatian khusus dan melaksanakan intervensi bersasar bagi menangani masalah dadah.
Menurut AADK, faktor geografi termasuk laluan penyeludupan rentas sempadan turut dikenal pasti sebagai antara risiko yang mempengaruhi masalah dadah di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, agensi berkenaan mempergiat usaha penguatkuasaan, pencegahan dan pemerkasaan masyarakat, dengan tumpuan kepada tiga segmen utama iaitu institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.
Sebanyak 242 program pencegahan dan kesedaran awam dilaksanakan dengan penyertaan keseluruhan 16,408 orang. Daripada jumlah itu, 228 program dilaksanakan di Terengganu, Kelantan dan Kedah, melibatkan lebih 16,000 peserta.
Dari segi penguatkuasaan, sebanyak 4,253 operasi dijalankan di seluruh negara sehingga 18 Oktober 2026, dengan seramai 30,157 orang ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.
Bagaimanapun, AADK turut memberi keutamaan kepada pendekatan rawatan dan pemulihan secara sukarela, dengan purata individu yang tampil mendapatkan bantuan meningkat daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan tahun ini.
Menurut agensi itu, peningkatan berkenaan menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025.
AADK berkata pihaknya akan terus menggunakan pendekatan berasaskan data untuk mengenal pasti kawasan berisiko, menetapkan keutamaan intervensi dan menyelaraskan program pencegahan, rawatan serta pemulihan bersama agensi berkaitan.
Kerjasama dengan kerajaan negeri turut diperkukuh melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD), yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier, bagi memastikan usaha menangani masalah dadah melibatkan pelbagai agensi serta penyertaan aktif keluarga, institusi pendidikan dan komuniti.

No comments:
Post a Comment