Hari ini saya mengetuai delegasi Malaysia dalam empat sesi konsultasi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) bersama Rakan Dialog, bersempena AMMTC Ke-20 di Makati, Filipina.
Empat sesi tersebut merangkumi Konsultasi AMMTC Plus Three Ke-16, AMMTC Plus China Ke-13, AMMTC Plus Japan Ke-11 dan AMMTC Plus Republic of Korea (ROK) Ke-7.
Dalam Konsultasi AMMTC Plus China Ke-13, saya turut diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama dengan TYT Lyu Wuqin, Penolong Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China.
Peranan ini merupakan satu lagi ruang penting bagi Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dengan China, khususnya dalam menangani cabaran keselamatan dan jenayah rentas sempadan.
Kesemua sesi konsultasi ini memberikan tumpuan kepada perkembangan ancaman jenayah rentas sempadan, kemajuan kerjasama sedia ada serta usaha meningkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui perkongsian maklumat, kerjasama operasi dan pembangunan kapasiti.
Antara ancaman yang diberikan perhatian termasuk jenayah siber dan penipuan dalam talian, penyeludupan dadah serta jenayah terancang yang semakin kompleks dan merentasi sempadan negara.
Saya percaya bahawa ancaman yang bersifat rentas sempadan memerlukan tindak balas yang turut merentasi sempadan. Sebab itulah hubungan erat antara ASEAN dengan Rakan Dialog perlu terus diterjemahkan kepada kerjasama penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Insya-Allah, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serantau dan antarabangsa demi menjamin keamanan, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.

No comments:
Post a Comment