
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua, kanan) bersama peguamnya ketika sidang media sejurus tiba di Kompleks Mahkamah Sepang pada 21 Oktober 2026. Foto Bernama
SEPANG, 21 Okt – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada 28 September lalu.
Beliau yang hadir kira-kira jam 7.30 pagi, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau kelihatan tenang sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang memberinya kekuatan serta keyakinan untuk menghadapi proses perundangan di mahkamah.

Beliau terharu dengan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang amat bermakna ketika beliau berdepan proses berkenaan kerana rakyat memahami apa yang beliau lalui sepanjang beliau berkhidmat demi rakyat dan negara.
“Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan serta keyakinan dalam meneruskan proses perundangan ini,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment