Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Danish Hairudin membidas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar susulan dakwaan bekas pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bahawa pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan sebagai tindakan luar tabii dan kerajaan ketakutan.
Danish sebaliknya mempersoalkan kefahaman Samsuri terhadap perlembagaan gabungan itu sendiri, dengan menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dijawab berdasarkan alasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), bukannya dialihkan kepada dakwaan kononnya kerajaan takut kepada PN.
“Yang luar tabii ialah apabila pengerusi gabungan begitu lantang menuding jari, tetapi seolah-olah tidak memahami perlembagaan gabungannya sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Danish, notis RoS bertarikh 22 September 2026 telah dijawab oleh PN, namun penjelasan gabungan itu didakwa gagal menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan oleh jabatan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mencabar PN supaya membawa pertikaian tersebut ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan RoS, selain mendedahkan notis dan jawapan yang dikemukakan kepada jabatan itu.
“Kalau rasa keputusan RoS salah, lawan dan buktikan di mahkamah. Dedahkan notis serta jawapan PN supaya rakyat boleh menilai siapa sebenarnya yang gagal menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Danish turut menegaskan bahawa pemimpin gabungan politik perlu memahami dan mematuhi perlembagaan organisasi sendiri, terutama apabila mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka berkeupayaan mentadbir negara.
“Kalau sendiri yang langgar, jangan orang lain pula dipersalahkan. Yang bergaduh sesama sendiri itu kamu, tetapi orang luar pula dituduh menjadi punca,” katanya.
Beliau kemudian menyindir hasrat PN untuk memimpin negara dengan mempersoalkan bagaimana gabungan itu mahu mengurus pentadbiran yang lebih kompleks jika masalah dalamannya sendiri masih belum diselesaikan.
“Beria-ia mahu mengurus negara, sedangkan rumah tangga sendiri berkecamuk pun masih sibuk mencari siapa hendak dipersalahkan!” katanya.
Danish berkata, PN perlu menjelaskan kepada rakyat asas pertikaian dengan RoS, termasuk kandungan notis dan jawapan yang dikemukakan, supaya orang ramai dapat menilai sendiri isu yang membawa kepada pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Beliau turut memetik kata-kata mendiang bekas Presiden MIC, S Samy Vellu, “Ini semua kerja orang gila!”, bagi menyindir polemik yang tercetus berhubung isu berkenaan.

No comments:
Post a Comment