Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bahawa kesan kelewatan pembekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terhadap pengeluaran padi perlu dinilai berdasarkan data hasil sebenar dan bukannya andaian semata-mata.
Berdasarkan analisis awal yang melibatkan 21 peratus sampel Kajian Pemotongan Padi (Crop Cutting Survey atau CCS) MADA, anggaran purata hasil kasar bagi Musim 1/2026 adalah sebanyak 5.69 tan sehektar berbanding 4.60 tan sehektar bagi Musim 1/2025.
Dapatan awal itu menunjukkan peningkatan purata hasil kasar di peringkat MADA dan setakat ini tidak menunjukkan kemerosotan hasil secara keseluruhan.
Bagaimanapun, KPKM menegaskan angka tersebut masih bersifat awal dan tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan muktamad mengenai kesan kelewatan pembekalan baja terhadap pesawah secara individu.
“Sehubungan itu, kajian menyeluruh akan dilaksanakan sebaik sahaja aktiviti penuaian selesai pada November 2026 bagi mendapatkan gambaran lebih lengkap dan tepat mengenai prestasi pengeluaran padi musim berkenaan.
“KPKM berpandangan bahawa sebarang rumusan dan tindakan susulan perlu dibuat secara objektif, berasaskan bukti serta mengambil kira kepentingan pesawah dan kelangsungan pengeluaran padi negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, kementerian menegaskan kebajikan pesawah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, termasuk dalam menangani kesan kemarau serta isu kelewatan pembekalan baja di kawasan MADA.
Bagi membantu pesawah yang terjejas akibat kemarau dalam tempoh Januari hingga Oktober 2026, kerajaan telah meneruskan penyaluran bantuan kewangan secara berfasa menerusi Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah yang berdaftar di bawah skim berkenaan.
Di kawasan MADA, pembayaran berjumlah RM1.99 juta telah dilaksanakan secara berperingkat dari Jun hingga Oktober 2026, manakala bantuan berjumlah RM5.13 juta bagi kawasan di luar MADA akan mula disalurkan secara berfasa pada 23 Oktober 2026.
KPKM berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan di lapangan dan memastikan kebajikan pesawah diberi perhatian sewajarnya, seiring dengan tanggungjawab memelihara kestabilan bekalan beras serta keterjaminan makanan negara.

No comments:
Post a Comment