Selama ini bukan main lagi cerita tentang kehebatan pentadbiran PAS di Terengganu. Tapi bila keluar Laporan Ketua Audit Negara, angka yang dipaparkan nampaknya tak seindah cerita yang selalu didengar.
Bayangkan, daripada 26 anak syarikat badan berkanun negeri Terengganu, sebanyak 20 syarikat mencatatkan kerugian pada tahun 2024!
Bukan rugi seringgit dua. Jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM24.01 juta.
Yang berjaya mencatatkan keuntungan pula cuma enam syarikat, dengan jumlah keuntungan RM2.12 juta sahaja.
Maknanya, hampir 77 peratus anak syarikat yang dinilai dalam laporan itu mencatatkan kerugian. Kalau ini keputusan peperiksaan, memang kena panggil mesyuarat khas cari apa masalahnya.
Paling besar, empat anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu rugi RM12.91 juta.
Sembilan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pula rugi RM5.37 juta, manakala empat anak syarikat Yayasan Terengganu mencatatkan kerugian RM5.07 juta.
Bila angka macam ini keluar, tentulah rakyat nak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Syarikat rugi sebab keadaan pasaran? Salah strategi perniagaan? Atau ada kelemahan dalam pengurusan yang perlu diperbetulkan?
Satu lagi persoalan menarik, siapa yang duduk dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat berkenaan dan bagaimana prestasi mereka dinilai?
Kalau syarikat mencatatkan kerugian, rakyat berhak tahu apa pelan pemulihannya. Jangan sampai laporan audit keluar setiap tahun, tetapi masalah yang sama terus berulang.
Sudah tentu tidak semua kerugian bermaksud berlaku salah urus. Namun, apabila 20 daripada 26 syarikat mencatatkan kerugian dalam tahun yang sama, perkara itu bukan sesuatu yang patut dipandang ringan.
Lebih-lebih lagi apabila syarikat terbabit berkaitan dengan badan berkanun negeri yang sepatutnya memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Terengganu.
Rakyat bukan nak dengar cerita hebat semata-mata. Rakyat nak tengok hasil.
Kalau pentadbiran negeri benar-benar cekap seperti yang sering dicanangkan, inilah masanya untuk tunjuk bagaimana kerugian RM24 juta itu mahu ditangani.
Sebab akhirnya, yang rakyat mahu bukan propaganda siapa paling hebat mentadbir, tetapi pengurusan duit dan aset negeri yang benar-benar memberikan manfaat kepada mereka.

No comments:
Post a Comment