INI CARA MENILAI ANAK MUDA.LEKEH NYA UMPAS.

 



Baru sahaja diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah atau Mukhlis Mubin sudah menjadi sasaran sindiran dan serangan peribadi di media sosial.






Apa yang menarik, calon muda daripada generasi Z itu bukan diserang kerana dasar atau cadangan pembangunan yang dibawanya, sebaliknya beberapa hantaran memilih untuk mempermainkan penampilan fizikalnya.


Menerusi satu hantaran Facebook, individu menggunakan nama Azrul Abu Hassan yang memaparkan identiti berkaitan UMNO pada gambar profilnya menyamakan Mukhlis dengan etnik Rohingya.


“Melampau betul PH ni sampai etnik Rohingya pun diorang angkat jadi calon,” tulisnya sambil berkongsi poster rasmi Mukhlis.


Tidak cukup dengan itu, beliau turut menyindir pakaian calon berkenaan.


“Siap pakai jaket Pink lagi,” tambahnya bersama beberapa emoji ketawa.


Hantaran tersebut tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa Mukhlis berketurunan Rohingya. Kenyataan itu sebaliknya dilihat sebagai sindiran terhadap penampilan calon muda tersebut.


Sebuah lagi halaman Facebook, Tentera Troll Kebangsaan, turut berkongsi poster Mukhlis dengan kapsyen yang mempermainkan calon berkenaan.


“Ada yang kata ‘Joki motor malam minggu mana ni?’” menurut hantaran tersebut.


Sementara itu, akaun PHan Fizs turut memuat naik gambar Mukhlis ketika majlis pengumuman calon dengan kapsyen, “Macam tak ada harapan ja calon dari Pan ni.”


Apa yang menjadi persoalan, mengapa penampilan seorang calon muda menjadi tumpuan serangan sedangkan latar belakang dan kebolehannya juga boleh dinilai?


Mukhlis bukanlah nama asing dalam dunia pengucapan awam. Pada 2023, beliau pernah muncul juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri bagi kategori Alam Melayu.


Kejayaan tersebut menunjukkan beliau mempunyai pengalaman dalam bidang pengucapan awam, walaupun kebolehan berpidato sahaja belum cukup untuk menentukan kemampuan seseorang menjadi wakil rakyat.


Kini, Mukhlis mengambil langkah lebih besar apabila bertanding dalam pilihan raya negeri dan perlu membuktikan kemampuannya memahami masalah penduduk Kuala Linggi.


Sebagai calon PH, beliau tentunya terbuka untuk dinilai dan dikritik berdasarkan idea, tawaran serta pendirian politiknya.


Namun, serangan yang mempermainkan rupa paras atau mengaitkan seseorang dengan etnik tertentu tanpa asas tidak membantu pengundi menilai kemampuan calon.


Lebih-lebih lagi apabila parti-parti politik sering bercakap tentang pentingnya memberikan ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam kepimpinan negara.


Kalau benar mahu menguji kemampuan calon Gen Z, persoalkanlah apa perancangannya untuk rakyat, bagaimana mahu menangani kos sara hidup atau apa yang boleh dilakukan bagi membangunkan Kuala Linggi.


Bukannya sekadar mempermainkan wajah, jaket dan penampilan calon.


Bagaimanapun, hantaran individu dan halaman yang menggunakan identiti pro-BN itu tidak semestinya mewakili pendirian rasmi UMNO atau Barisan Nasional.


Apa yang jelas, kemunculan Mukhlis sebagai calon PH sudah mencetuskan perhatian, termasuk serangan peribadi sebelum kempen pilihan raya bermula.


Daripada pentas pidato antarabangsa ke gelanggang PRN Melaka, Mukhlis kini berdepan cabaran baharu yang bukan sahaja melibatkan persaingan politik, tetapi juga budaya serangan peribadi di media sosial.



No comments: