Sebaik tiba di Shanghai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memulakan agenda lawatan kerja dengan menyertai sesi libat urus strategik membabitkan Bank Rakyat bersama dua syarikat teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo.
Anwar berkata pertemuan itu memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan atau fintech.
Menurut beliau, sesi tersebut merupakan antara pengisian awal lawatan kerja tiga hari beliau ke China yang berlangsung dari 22 hingga 24 September.
“Sebaik tiba di Shanghai, saya langsung ikut serta dalam satu sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China iaitu Alibaba Cloud dan Lenovo,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata kedua-dua syarikat berkenaan kini meneroka peluang kerjasama dengan Bank Rakyat dalam bidang teknologi digital, AI serta fintech.
Beliau turut menyambut baik usaha Bank Rakyat memperkukuh keupayaan digitalnya dengan meneroka peluang kerjasama lebih luas merentasi pelbagai bidang perniagaan Alibaba, selain mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat.
Menurut Anwar, kerjasama strategik itu berpotensi membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman antara syarikat China dengan institusi serta pemain ekonomi tempatan.
Katanya, manfaat daripada kerjasama itu diharapkan dapat dirasai oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan melalui penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap dan inklusif.
Lawatan Anwar ke Shanghai turut memberi tumpuan kepada agenda kemahiran apabila beliau dijadual menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kemahiran Dunia atau WorldSkills Competition Shanghai 2026.
WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 September di Shanghai, dengan pertandingan kemahiran dijalankan dari 23 hingga 26 September. Acara itu menghimpunkan peserta muda dari puluhan negara dan wilayah dalam 64 bidang kemahiran.
Kerajaan China sebelum ini mengesahkan Anwar antara pemimpin asing yang akan menghadiri upacara pembukaan WorldSkills Competition atas jemputan China.
Anwar sebelum ini berkata lawatan kerja ke China turut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama dalam bidang strategik, termasuk pendidikan, TVET, teknologi dan ekonomi digital.
Dalam hantaran sama, Anwar berkata setiap kerjasama strategik yang dibina perlu membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan pada akhirnya memberi manfaat bermakna kepada rakyat.
Beliau turut memohon doa agar usaha dan ikhtiar delegasi Malaysia sepanjang lawatan berkenaan dipermudahkan serta mencapai hasil yang diharapkan demi kepentingan negara
No comments:
Post a Comment