Hentikan Rundingan, Pakatan Harapan Mesti Bergerak Solo Di Melaka

 

Saya yakin majoriti ahli KEADILAN bahkan Pakatan Harapan sendiri ingin menyaksikan Pakatan Harapan bertarung di Melaka di atas kekuatan kita sendiri - Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar.

PENDAPAT, 23 Sep – Dun Melaka telah dibubarkan. Tahniah kepada Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh yang telah menunaikan hajat rakyat Melaka yang ternanti-nantikan pembubaran Dun bagi mereka menentukan kerajaan baru di Melaka.

Sebagai ahli KEADILAN di akar umbi, saya yakin majoriti ahli KEADILAN bahkan Pakatan Harapan sendiri ingin menyaksikan Pakatan Harapan bertarung di Melaka di atas kekuatan kita sendiri. Jika dulu kita yakin dan percaya kepada gabungan parti di dalam kerajaan perpaduan bersama Umno/Bn, tetapi kepercayaan kita dikhianati sewaktu PRN Johor dan N. Sembilan.

Di Johor, awal-awal lagi Umno/Bn menolak kita. Di N.Sembilan pula, tanpa angin, tanpa ribut, Umno menolak kepimpinan MB N. Sembilan sehingga tercetusnya PRN di N.Sembilan. Kesannya hingga sekarang, meskipun Umno/Bn yang bersekongkol dengan PN mentadbir N. Sembilan, keadaan di negeri adat perpatih itu kucar kacir jadinya.

Dua kenyataan lidah bercabang dikeluarkan daripada pemimpin BN dan PN cuba menutup kegagalan mereka menyelesaikan isu di Negeri Sembilan biarpun telah menang pada PRN Ogos lalu.

Pertarungan kerajaan pimpinan Umno/Bn kini bertarung dengan istana dan saling pecat mecat sesama mereka. Kesihan rakyat N. Sembilan.

Melihat apa yang berlaku hari ini ditambah pula dengan terdedahnya berbagai skandal rasuah di kalangan pimpinan parti Umno yang telah didakwa ditambah pula dengan usaha parti tersebut untuk membantu ‘penyakau’ agar dipenjarakan dirumah, maka Pakatan Harapan tidak wajar bersekongkol dan bekerjasama dengan parti tersebut di PRN Melaka.

Kita pernah mentadbir Melaka sebelum ini dan kita perlu beri peluang kepada rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang mereka yakini boleh membenteras rasuah, bukannya membantu perasuah.

Saya merayu agar pucuk pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan agar tidak membuang masa untuk berunding dengan Umno/Bn dalam menghadapi PRN Melaka. Kita mesti bersedia untuk menang atau kalah secara bermaruah di Melaka. Jangan kita terjebak dengan kebobrokan parti tersebut. Kalau kita bergabung sekalipun, percayalah ahli-ahli Umno terutamanya yang pro kepada Najib tidak akan mengundi kita. Jangan kita tersalah langkah.

Tindak tanduk Umno/Bn dan rakan baru mereka Pas hari ini sudah tentu akan ditolak oleh rakyat yang bermaruah dan pengundi-pengundi muda serta atas pagar. Kita mesti bermula dari sekarang untuk membina kekuatan sendiri bagi menghadapi PRU 16.

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Ketua Cabang
KEADILAN Paya Besar





No comments: