Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan menghadap mantan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, hari ini.
Pertemuan berkenaan yang dikatakan bagi sesi suai kenal dan silaturahim dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Jaafar, di Seremban, pada 9 pagi ini.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi jemputan kepada pihak media bagi membuat liputan perjumpaan berkenaan.
Undang Yang Empat (Undang yang dipertikai), Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong dijangka turut hadir dalam pertemuan terbabit.
Pada 15 September lalu, mesyuarat yang dipengerusikan Ismail menetapkan bahawa proklamasi penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Susulan itu, barisan Exco menggesa supaya Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuat kuasa serta-merta.
Namun, keputusan Menteri Besar dan barisan Exco itu kemudian berdepan pertikaian apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 September menegaskan Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Malah, DKU menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi berkenaan.
Pada hari sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) turut menyatakan keputusan Menteri Besar dan Exco berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah.
Kemelut itu bertambah tegang apabila Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu mengumumkan pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta selepas Tuanku Muhriz mendapati mereka telah memungkiri sumpah jawatan.
Ismail pada masa sama dititahkan mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menggesa Ismail mematuhi titah Tuanku Muhriz dengan mengemukakan senarai baharu calon Exco.
PH Negeri Sembilan turut menegaskan anggota pentadbiran negeri tidak boleh memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila ia selari dengan kehendak mereka.
No comments:
Post a Comment