Sinergi Bank Rakyat, Alibaba Cloud, Lenovo Buka Ruang Kerjasama Strategik – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China iaitu Alibaba Cloud dan Lenovo di Shanghai pada 22 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SHANGHAI, 22 Sep – Ruang lebih luas kepada perkongsian teknologi, kepakaran serta pengalaman dalam usaha memperkukuh keupayaan digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (fintech) dapat direalisasikan menerusi sinergi strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo.

Perkara tersebut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini, sejurus tiba di sini bagi memulakan lawatan kerja tiga hari atas jemputan Kerajaan China.

Menurut Anwar, usaha meneroka kerjasama itu turut berpotensi memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan, di samping memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China iaitu Alibaba Cloud dan Lenovo di Shanghai pada 22 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya menyambut baik ikhtiar transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba, serta mengalu-alukan pembabitan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat,” ujar Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri satu sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo, yang kini sedang meneroka kerjasama dalam bidang teknologi digital, AI serta fintech.

“Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan, akhirnya, yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat,” ujar beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China iaitu Alibaba Cloud dan Lenovo di Shanghai pada 22 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Kemuncak lawatan Perdana Menteri kali ini adalah mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang pada Khamis.

Beliau juga menghadiri WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) malam tadi di samping dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 pada Rabu.



No comments: