Pengasas Network School, Balaji Srinivasan, mengumumkan bahawa semua rancangan pelaburan baharu mereka di Malaysia buat masa ini ditangguhkan.
Katanya, keputusan itu dibuat sehingga mereka mendapat jaminan bahawa kontroversi seperti dakwaan penyertaan warga Israel menggunakan pasport negara kedua tidak akan berulang.
Menurut beliau, bukan sahaja pelaburan Network School dihentikan, malah beberapa pelabur dan eksekutif syarikat teknologi global yang sebelum ini berminat melabur di Forest City juga mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Balaji turut mendakwa mereka telah melaburkan lebih RM100 juta di kampus tersebut serta mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan.
Balaji juga mempertahankan operasi Network School dengan menyatakan pihak mereka telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Malaysia.
Beliau mendakwa pemeriksaan melibatkan ratusan pasport dari 40 negara telah dibuat dan semua dokumen perjalanan didapati teratur.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Imigresen sebelum ini memaklumkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara masih belum menemui bukti bahawa warga Israel menyertai program tersebut di Forest City.
Akan tetapi siasatan pihak berkuasa masih penting kerana ia bukan sekadar menyemak dokumen perjalanan, tetapi juga memastikan semua aktiviti mematuhi undang-undang, dasar keselamatan negara dan syarat imigresen Malaysia.
Dalam kenyataannya, Balaji menawarkan dua pilihan kepada Malaysia.
Pertama, jika kerajaan masih mahu menarik pelaburan teknologi global, beliau mencadangkan satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bagi memberi kejelasan tentang syarat operasi Network School di Malaysia, sambil menegaskan mereka akan mematuhi semua undang-undang negara.
Kedua, jika Malaysia tidak berminat menerima pelaburan mereka, beliau berkata mereka akan menghormati keputusan itu dan mengalihkan modal ke negara lain.

No comments:
Post a Comment