Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu yang kini dilaporkan berdepan beberapa siri pemecatan terhadap ahli parti itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, beliau sejak awal lagi telah menjangkakan bahawa umur politik Bersatu tidak akan bertahan lama.
“Saya tidak berniat untuk campur tangan dalam urusan dalaman parti serpihan Umno ini.
“Sejak awal lagi saya sudah menyatakan bahawa jangka hayat politik parti itu tidak akan panjang. Kita akan lihat dalam masa terdekat apakah nasib yang menanti mereka,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Bersatu dilaporkan berdepan pergolakan dalaman yang menyaksikan beberapa ahlinya dikenakan tindakan disiplin dan dipecat, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan parti tersebut.
Semalam, 10 orang pemimpin Bersatu dikenakan tindakan disiplin termasuklah digantung keahlian dan dipecat dari parti.
Jumlah pemimpin yang dipecat bertambah kepada tiga orang iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak; dan Timbalan Ketua Armada Nasional Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad yang juga Ketua Bahagian Hulu Langat.
Manakala ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man pula digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti.
Turut digantung keahlian adalah lima orang Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor; dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
No comments:
Post a Comment