509: Lapan Tahun Gelombang Kuasa Rakyat Dan Putaran Takdir

 


Dunia menyaksikan kejatuhan sebuah rejim pemerintahan 60 tahun sebuah kerajaan yang dirasakan tidak mungkin tumbang tetapi akhirnya pada 9 Mei 2018, rakyat bersuara di peti undi menolak mereka secara besar-besaran. Foto Andre Lai

PENDAPAT, 9 Mei – ​风水轮流转 (Fēng shuǐ lún liú zhuàn) — Feng Shui sentiasa berputar. Ungkapan yang sering kita dengar dalam perbualan harian masyarakat Cina ini membawa makna yang mendalam: bahawa keadaan dunia ini tidak pernah statik.

Dalam kanta metafizik purba, setiap 60 tahun menandakan satu putaran tenaga kosmik yang lengkap, sebahagian daripada kitaran besar 180 tahun. Kitaran inilah yang kita saksikan sedang membentuk semula wajah Malaysia.

​Imbas kembali pada 9 Mei 2018 (PRU-14), satu tarikh yang telah melakar sejarah luar biasa. Sebuah gergasi yang selama ini dianggap “terlalu besar untuk tumbang” (too big to fail) akhirnya rebah ke bumi.

Kejatuhan itu mengejutkan dunia, tidak tumpah seperti runtuhnya Lehman Brothers pada tahun 2008 yang melumpuhkan tunjang kewangan Amerika Syarikat. Sesuatu yang dianggap mustahil, akhirnya menjadi realiti di tangan rakyat.

​Rentetan detik itu, bermulalah perjalanan saya dalam struktur kerajaan di bawah panji Pakatan Harapan. Ia adalah fasa di mana saya berkhidmat secara rasmi demi agenda reformasi institusi, meneliti setiap seluk-belok fungsi kerajaan dengan penuh azam.

Walaupun memegang amanah dalam struktur politik melonjakkan saya ke hadapan, perjalanan itu tidaklah seindah yang dibayangkan. Haloba dan ketamakan kuasa—baik dari dalam mahupun luar, membuktikan bahawa arus reformasi sentiasa berdepan dengan tembok yang sukar ditembusi.

​Negara kemudiannya diuji dengan badai pandemik dan pergolakan politik yang mencetuskan episod huru-hara. Namun, melalui PRU-15, mandat rakyat diperbaharui sekali lagi dalam satu episod baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.

Sebenarnya, sejak tahun 2008, rakyat telah mula mengambil alih kemudi politik negara. Daripada kerajaan yang “terlalu besar untuk tumbang” sehingga kepada kewujudan kerajaan yang “mustahil menjadi realiti,” suara keramat rakyat semakin menyerlah dan matang.

​Hari ini, politik bukan lagi sekadar bicara golongan elit di menara gading, tetapi dibahas setiap hari oleh akar umbi melalui media sosial dan audio siar. Namun, kematangan ini datang bersama cabaran baharu; berita palsu, laskar siber, dan pempengaruh mula menjadi kuasa politik yang mampu memesongkan kewarasan dengan emosi. Isu-isu sensitif 3R pula semakin kerap dimainkan tanpa rasa gentar.

Keteguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan isu rakyat sejak 1974 diterjemahkan pada 2022 dengan konsep Malaysia MADANI sehingga kini.

​Dalam menyelusuri nadi masyarakat di peringkat bawahan, saya melihat para pengundi kini berada dalam persimpangan. Di sebalik “bunyi bising” politik yang mengelirukan, adakah mereka akan kembali mencari pemimpin yang benar-benar ikhlas berkhidmat tanpa bebanan ideologi yang bertindih?

​Hari ini, genap lapan tahun gelombang itu bermula dan kita kini semakin menghampiri gerbang PRU-16. Dalam tempoh setahun dua lagi, adakah kita bakal menyaksikan satu lagi episod luar jangka? Mungkin benar, roda Feng Shui sedang berputar untuk pusingan seterusnya.

Namun, walau apa pun yang mendatang, marilah kita terus berpaut pada harapan demi sebuah negara yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI adalah faktor dividen KWSP lebih tinggi pada 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

​Pepatah Cina untuk rujukan:

​风水轮流转 (Fēng shuǐ lún liú zhuàn)

(Roda nasib sentiasa berputar; keadaan tidak selamanya kekal sama).

Oleh Lai Chen Heng



No comments: