
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026. Foto PMO
CEBU, 8 Mei – Negara-negara ASEAN digesa berdepan kemelut global yang semakin meruncing secara bersama kerana memerlukan kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang lebih kukuh kerana tiada negara boleh menghadapinya secara bersendirian, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia komited untuk terus memperkukuh kesepaduan ASEAN dalam mendepani cabaran krisis geopolitik, keterjaminan tenaga dan makanan serta ketidakstabilan rantaian bekalan serantau.

Perkara tersebut ditegaskan Anwar ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di sini, hari ini.
“Solidariti ASEAN mesti terus diperkasa bagi memastikan rantau ini kekal stabil, inklusif dan berdaya tahan dalam suasana dunia yang semakin berpecah akibat persaingan geopolitik,” katanya.

Sidang berkenaan dipengerusikan Presiden Filipina, Ferdinad Marcos Jr. dan turut dihadiri semua ketua-ketua kerajaan ASEAN kecuali Myanmar.
Dalam sidang itu, Malaysia turut menyuarakan sokongan terhadap usaha mempercepat pelaksanaan ASEAN Power Grid selain memperkukuh mekanisme keselamatan petroleum serantau.

Anwar berkata, ASEAN juga perlu memperluaskan jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi ASEAN-GCC-China bagi menjamin daya tahan tenaga untuk jangka panjang.
Dalam isu keterjaminan makanan pula, beliau menegaskan ASEAN perlu bertindak lebih tuntas melalui penyelarasan stok kecemasan makanan serta pengukuhan mekanisme simpanan beras ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR).

“Langkah ini penting supaya rantau ini tidak terus terdedah kepada inflasi makanan dan gangguan bekalan,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar berkata, keselamatan warga ASEAN di kawasan bergolak turut menjadi keutamaan bersama negara anggota.

Katanya, perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan perlu dipertingkat bagi melindungi kebajikan rakyat ASEAN di luar negara.
No comments:
Post a Comment