Saman RM10 Juta: Baru Bian Mohon Batal Difail KEADILAN

 


Baru Bian menandatangani bon berkenaan di Kuching pada 25 April 2018 dan kononnya ‘penglibatannya dengan KEADILAN hanya tertumpu di Sarawak’.

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Baru Bian memfailkan permohonan untuk membatalkan saman difailkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terhadapnya, yang menuntut ganti rugi RM10 juta berhubung dakwaan melanggar syarat bon apabila keluar daripada parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Notis permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan itu difailkan menerusi Tetuan YH Teh & Quek pada 6 April lepas atas alasan Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut kerana punca tindakan timbul di Sarawak.

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor.

Dalam permohonan itu, Baru Bian yang juga bekas Ahli Parlimen Selangau berkata, beliau menandatangani bon berkenaan di Kuching pada 25 April 2018 dan ‘penglibatannya dengan KEADILAN hanya tertumpu di Sarawak’.

“Tindakan plaintif (KEADILAN) terhadap saya jika sekalipun dibuktikan benar, tidak berbangkit di Semenanjung Malaysia. Tuntutan itu berbangkit di Sarawak,” katanya dalam permohonan itu.

Baru Bian antara 16 bekas Ahli Parlimen dan ADUN yang disaman Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Dr Fuziah Salleh bagi pihak KEADILAN atas dakwaan melanggar syarat bon RM10 juta yang ditandatangani bersama parti itu.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri R. Santhara Kumar.

Selain itu, Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim turut dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman difailkan secara berasingan pada 19 dan 27 Februari lepas, KEADILAN mendakwa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calon untuk bertanding pada PRU14 dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, setiap defendan telah berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti. Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain KEADILAN,” menurut KEADILAN dalam pernyataan tuntutan itu.

Pada 11 Mac 2020 parti memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan keahlian setiap defendan telah ditamatkan serta menuntut setiap defendan membayar bon RM10 juta, namun mereka gagal berbuat demikian.





No comments: