DUA ADUN DIPECAT BERSATU: MENGHADAP SULTAN KEDAH SEBELUM UMUM TINDAKAN - SANUSI


 

Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dibincangkan secara mendalam oleh Kerajaan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri tidak akan bertindak terburu-buru kerana setiap keputusan perlu mematuhi prosedur pentadbiran serta mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Menurut beliau, buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu Kerajaan Negeri menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa berkaitan isu tersebut.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang juga merupakan Exco Kedah serta ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis selaku Timbalan Speaker selepas kedua-duanya dipecat daripada BERSATU.
Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, status Dzowahir sebagai Exco negeri yang memegang portfolio Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan akan diperhalusi bersama kedudukan Abdul Razak sebagai Timbalan Speaker.
“Kedudukan mereka akan dibincangkan lanjut. Mereka bukan pembangkang, sebaliknya ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurut beliau, surat daripada BERSATU yang memohon pertukaran Exco dan Timbalan Speaker sebenarnya telah diterima sebelum ini, namun Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan kerana kedua-dua pemimpin terbabit pada ketika itu masih ahli parti BERSATU.
Tambah Sanusi, perkara berkenaan dibincangkan ketika Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan BERSATU Kedah pada 10 April lalu.
“Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.
Pada Jumaat, BERSATU menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
BERSATU turut menggantung keahlian tujuh lagi pemimpin parti itu selama dua penggal pemilihan parti antaranya ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.

No comments: