Saya bertanding atas tiket PAS, kata Khlir lepas digantung Bersatu

 

N Faizal Ghazali
Diterbitkan:  May 9, 2026 12:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM1

http://lamanreformasi

http://www.wrlr.com


Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, menegaskan dia tidak terkesan dengan tindakan Bersatu yang menggantung keanggotaannya berkuat kuasa serta-merta seperti dilaporkan semalam.

Malah, katanya, dia masih seorang ahli parlimen yang bertanding dan menang di atas tiket PAS pada PRU ke-15 lalu.

“Tak ada kesan apa-apa pada saya. Saya bertanding atas tiket PAS.

“Saya masih lagi ahli parlimen, saya bukan bertanding atas tiket Bersatu,” kata bekas pegawai kanan angkatan tentera itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Khlir antara lima ahli parlimen Bersatu yang digantung keahlian selama dua penggal oleh parti itu.

Turut digantung ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Selain itu dua wakil rakyat di Kedah dikenakan tindakan lebih keras apabila dipecat keahlian mereka oleh Bersatu iaitu Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Turut digantung keahlian ialah dua Adun di Perak, Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), manakala Ketua Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmat pula dipecat keahlian.

Mengenai percaturan masa depannya, Khlir berkata, dia akan berfikir terlebih dahulu sama ada akan membuat rayuan atau sebaliknya.

“Dalam Bersatu pun saya tak ada jawatan apa-apa, bukan saya ketua bahagian, atau ahli jawatankuasa, tak ada apa-apa saya ni.

“Saya ini adalah ahli Bersatu, bertanding atas tiket PAS. Tak ada apa saya nak merayu pun, tapi saya akan fikir dulu macam mana,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

No comments: