
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.12 malam tadi dari Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen, Cebu pada 8 Mei 2026. Foto Jabatan Penerangan Sabah
KOTA KINABALU, 9 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di sini malam tadi bagi memulakan lawatan kerja ke Sabah selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.12 malam tadi dari Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen, Cebu.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunasalam dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hari ini, Perdana Menteri dijadual menghadiri beberapa program di Kudat termasuk melawat Pos Dogotan di Pulau Banggi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi bagi meninjau keadaan infrastruktur kedua-dua premis berkenaan.
Untuk rekod, pada 10 November 1994, Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu SMK Banggi.
Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama penduduk setempat di Pulau Banggi sebelum pulang ke ibu negara.
Pulau Banggi yang terletak di utara Sabah boleh diakses menerusi perjalanan feri sejauh 70 kilometer dari Terminal Feri Kudat dan adalah pulau terbesar di Malaysia dengan keluasan 440 kilometer persegi.

No comments:
Post a Comment