MUDA sertai PH: Lebih mudah jika sedia bertanding kerusi Pas, Umno


 Pengumuman Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) menuai pelbagai kontroversi namun mungkin ada formula tertentu sekiranya parti itu tidak ingin dilihat membebankan komponen PH lainnya.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar penyertaan MUDA sekiranya parti itu memohon, perlu juga mengambil kira pandnagan akar umbi PH, khususnya KEADILAN yang dirugikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.


"Umum mengetahui luka lama akibat tindakan semberono MUDA meletakkan calon di Larkin yang bertembung dengan calon KEADILAN pada PRN Johor masih berdarah, ditambah sindiran Presiden MUDA terhadap pengerusi PH yang ditularkan semula.


"Penjelasan perlu diberikan untuk tindakan itu yang telah membangkitkan kemarahan anggota KEADILAN," kata Halimey dalam satu kenyataan.


Oleh itu, katanya, MUDA perlu menunjukkan lebih keikhlasan untuk menyertai PH dan jangan terlalu berharap mendapat kerusi bandar sebagaimana dalam PRN lalu.


Bagaimanapun kata ADUN Seri Setia itu berkata, keadaan akan menjadi lebih lunak sekiranya MUDA mahu mengambil kerusi kerusi yang lebih mencabar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


"Permohonan MUDA untuk bersama PH sebagai parti komponen juga perlu disertai dengan keikhlasan membantu memperkukuh serta memperkuat jentera menjelang PRU 15.


"Masih ada banyak ruang kosong terutama di kerusi tradisi Umno dan Pas memerlukan tenaga segar dari parti seperti MUDA yang secara terbuka mengumumkan akan bertanding 15 kerusi parlimen sebelum berunding.


"Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Sebaliknya fokus gerak kerja di kawasan Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak," katanya.


Selain itu, kata Halimey, MUDA juga perlu menyatakan pendirian terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai Tun Mahathir Mohamad, Pengerusi Pejuang yang berasaskan kaum dan diketahui secara terbuka menolak calon Perdana Menteri tunggal PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Hal itu penting, katanya, kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan MUDA sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui secara kolektif.