Gagal siasatan isu LCS, kejatuhan ringgit: PM Ismail Sabri tidak tegas, lembab - Abdullah Sani




Imej hebat Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cuba dibina oleh unit propagandanya selepas membebaskan institusi kehakiman dalam menghantar bekas PM Najib Razak ke penjara kini mulai 'koyak'.


Bertentangan dengan kehebatannya, bagi Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ismail bukanlah seorang yang berwibawa menerajui negara apabila gagal mengarahkan siasatan ke atas watak kontroversi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Latiff Ahmad yang telah menerima banyak laporan polis berhubung skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).


Beliau juga, kata Abdullah, dipertikaikan kerana tunduk kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang enggan melaksanakan pindaan Akta Kerja 2022 sebagaimana dijadualkan pada 1 September lalu.


"Sikap PM yang lembab dan tidak tegas ini telah menyebabkan skandal rasuah terkait menteri kabinet beliau tidak dapat ditangani segera.


"Ismail Sabri gagal arahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang didakwa terlibat dalam skandal LCS berdasarkan laporan audit forensik untuk bercuti daripada tugas sementara siasatan dijalankan, atau pun isytiharkan harta secara terbuka. Ramai menuding jari PM memilih jalan selamat kerana takut kehilangan sokongan daripada parti Bersatu.


"Kelemahan pentadbiran Ismail juga dilihat dengan tindak tanduk Menteri Sumber Manusia yang tidak kompeten, merugikan rakyat dan seolah-olah membelakangkan PM. Contohnya dalam isu penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (pindaan 2022) yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 September lalu tetapi kemudiannya dianjakkan ke 1 Januari 2023," katanya Abdullah dalam satu kenyataan.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN kecewa dengan sikap lembik PM Ismail dalam isu kebajikan pekerja kerana pindaan Akta Kerja berkenaan telah menerima perkenan daripada Yang Dipertuan Agong pada 26 April dan diwartakan sejak 10 Mei lalu.


Beliau bertanya mengapa PM Ismail boleh membenarkan penangguhan penguatkuasaan untuk memastikan pekerja mendapat hak lebih baik tatkala rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan situasi yang cukup sukar sekarang.


Dalam bidang ekonomi pula kata Abdullah, Ismail menunjukkan prestasi mengecewakan apabila nilai ringgit jatuh merudum kepada RM4.50 berbanding satu dollar Amerika Syarikat minggu ini.


"Terbaru dilaporkan portal antarabangsa, Bloomberg berkata "Ringgit Drops to Lowest Level Since Asian Financial Crisis". Ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng apabila ringgit berada pada paras paling lemah sejak Januari 1998.


"Tentunya dengan kejatuhan ini menambah parah kenaikan harga barang dan menyukarkan negara yang amat bergantung kepada barangan import, khususnya makanan yang mencecah lebih 60 peratus. Hal ini bakal mengakibatkan rakyat berdepan satu lagi pusingan kenaikan harga barang," katanya lagi.


Tegas Abdullah, seorang PM yang hebat harus menunjukkan kewibawaannya dalam memulih atau meningkatkan ekonomi negara.


Jelas beliau, Ismail mungkin dikira baik dalam membebaskan institusi kehakiman tetapi ada calon lain di pihak Pakatan Harapan yang mampu berbuat lebih baik daripada beliau dalam segala segi dan lebih layak dianggat sebagai Perdana Menteri.


 

No comments: