TITAH AGONG TENTANG KEADILAN DAN PENGAMPUNAN UMPAMA AIR SEJUK DARI PERGUNUNGAN

 

Di sebalik riuh-rendah ramai orang ghairah bercakap mengenai pengampunan Najib Razak, titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di Kuantan, Isnin lalu bolehlah diibaratkan seperti curahan air gunung ketika musim panas yang dapat menyejukkan seluruh jiwa yang sedang keresahan.

Titah baginda, tiada sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada pihak yang melakukan kesalahan dari segi keadilan.

Al-Sultan Abdullah seterusnya bertitah, ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa pun termasuk pihak yang tidak disenangi.

“Undang-undang hanya memiliki satu bahasa; satu prinsip; satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa pun.

“Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah.

“Prinsip keadilan yang telus dan terbuka turut berjaya membangunkan masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,”titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, kuasa menghukum dan memberikan pengampunan juga tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil pasti keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah disebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

“Jika perkara itu berlaku, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak memiliki kuasa dan menjadi titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan,” titah baginda.

Walaupun bertitah dalam majlis perasmian Kompleks Mahkamah Syariah dan lebih dalam konteks undang-undang Islam, titah baginda itu juga jika diteliti secara umum, ia amat selari dengan perkembangan semasa, khususnya dalam kes yang melibatkan Najib sekarang ini.

Dengan itu, rakyat tentu saja menjunjung kasih dan gembira dengan titah baginda yang penuh makna itu.

Terlihat jelas bahawa baginda amat menekankan tentang prinsip keadilan dalam perlaksanaan undang-undang dan juga dalam memberi pengampunan, sambil mengingatkan sebarang ketidakadilan akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari.

Meskipun begitu, dalam konteks berkaitan, sementara titah Agong itu amat mudah untuk difahami mesejnya, masih kedengaran suara-suara sumbang daripada penyokong Najib yang tidak puas hati dengan hukuman yang diterima bekas Perdana Menteri itu.

Terdengar pelbagai ancaman, antaranya untuk memecat Percana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli UMNO dan gesaan agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO segera menarik sokongan terhadap kerajaan.

Tujuan semua itu tidak lain adalah untuk mencetuskan ketidakstabilan dan huru hara, seterusnya diharapkan agar PRU15 diadakan dengan segera sebagai jalan penyelesaiannya.

Ternampak di sini matlamat menjatuhkan kerajaan dan menukar Perdana Menteri adalah bersifat kepentingan peribadi iaitu melepaskan seseorang dalam kadar segera daripada penjara dan bukan untuk menyelamatkan masa depan negara.

Ketika ini, semua orang sedar mengadakan pilihan raya bukanlah waktu yang sesuai kerana pelbagai masalah dan hambatan sedang menggunung menyesakkan nafas kehidupan rakyat.

Rakyat mahu kehidupan dan makanan, bukan ingin turun mengundi serta menukar kerajaan.

Dengan demikian, jika penarikan sokongan atau pemecatan kepada Perdana Menteri dilakukan oleh kluster tertentu dalam UMNO, ada baiknya jika Agong kekal mengutamakan kestabilan dalam negara dan mengisytiharkan darurat sebagai jalan penyelesaiaan sementara sehingga tiba waktu yang sesuai untuk PRU15 diadakan.

Agong selama ini telah terbukti memiliki kebijaksanaan dalam mendepani beberapa krisis politik dalam negara, dan sebagaimana semua keputusan baginda disokong oleh rakyat jelata, jika darurat diisytiharkan juga, rakyat pastinya juga tidak berbelah bagi menyokong dan berdiri bersama baginda. – ShahbudinHusin 09/09/2022.




No comments: