Polis perlu fokus siasat skandal LCS, bukan siasat pembuat laporan



Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) diminta lebih fokus dalam melaksanakan siasatan ke atas skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dan tidak mengalihkan tumpuan menyiasat laporan polis pihak lain.


Hel tersebut ditimbulkan oleh Timbalan Pengerusi Biro Guaman dan Aduan Awam KEADILAN Pulau Pinang, Darwin Lim Chee Chien.


Beliau mengulas mengenai siasatan ke atas Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berdasarkan laporan yang dibuat oleh pegawai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Latiff Ahmad berhubung pendedahan Rafizi sebelum itu yang mengaitkan Dr Latiff dengan skandal LCS.


"Walaupun banyak bukti dan maklumat dibekalkan oleh Rafizi, namun kami tidak nampak tindakan lanjut daripada pihak polis terhadap menteri yang terlibat, iaitu Datuk Dr Abd Latiff dan juga seorang wanita yang bernama Zainab Mohd Salleh


"Manakala Rafizi yang merupakan pemberi maklumat bagi kes ini sebaliknya disiasat dengan pantas dan telefon bimbitnya dirampas oleh pihak polis. Seolah-olahnya Rafizi adalah suspek yang terlibat dalam kes skandal tersebut sedangkan bukan beliau yang terlibat dalam kes penyelewengan berkenaan, ini jelas bahawa ada udang disebalik batu," katanya.


Darwin Lim yang juga Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang turut mahu polis menghentikan intimidasi dan penindasan terhadap Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim sebagai pengadu dan pelapor polis, di mana beliau telah dipanggil beberapa kali oleh pihak polis untuk memberi keterangan bagi skandal projek LCS tersebut.


"Walaupun pihak polis mempunyai kuasa untuk menyiasat, namun ia perlu diingatkan segala kuasa yang diberikan bukannya kuasa mutlak dan perlu digunakan dengan sederhana tertakluk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu perlindungan terhadap hak kebebasan diri," katanya lagi.


Tegas beliau, memandangkan kes LCS melibatkan kepentingan awam, pihak polis harus mengendalikan kes itu secara telus dan mengambil tindakan yang segera terhadap individu yang terlibat walaupun berstatus VIP atau VVIP

 

No comments: