LAGI BERITA PELESU : PKR nafi diarah adakan pemilihan semula 53 bahagian

 


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa
 berkata pemilihan parti selesai sepenuhnya dan kini menumpukan
 kepada persediaan menghadapi PRU15.

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa menyangkal dakwaan terdapat 53 bahagian parti itu akan melakukan undian semula.

Zaliha berkata, pihaknya tidak menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang mengarahkan pemilihan semula diadakan dan pada masa sama beranggapan dakwaan itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi tujuan provokasi.

“Apatah lagi saya sendiri berada dalam jawatankuasa yang menguruskan tentang beberapa hal ditimbulkan kepada JPPM berkaitan pemilihan parti baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemilihan PKR telah selesai sepenuhnya dan kini menumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Selepas keputusan rasmi dikeluarkan dan Kongres Nasional PKR berlaku dengan lancar pada pertengahan Julai lepas, rata-rata anggota menerimanya dan meneruskan seperti mana kehendak presiden dan pimpinan,” katanya.

Zaliha memohon ahli PKR bertenang, tidak membuat spekulasi dan hanya menerima berita daripada sumber sahih.

Terdahulu, beberapa media melaporkan pemilihan semula itu membabitkan kebanyakan bahagian di Selangor termasuk Gombak dan Ampang.


No comments: