‘Pembonsaian’ pemikiran rakyat: Halangan utama terhadap pembangunan negara - SIRI 1

 


Ahli akademik separuh masak perlu dikenal pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar


Oleh Teh Yik Koon

Kadangkala kita mungkin terserempak dengan buku atau penulisan yang meninggalkan kesan yang mendalam di dalam pemikiran kita.

Pada saya, salah satu daripadanya ialah rencana yang ditulis oleh Hishamuddin Rais yang bertajuk “Yang bonsai dan yang dibonsaikan“.

Istilah bonsai yang digunakan oleh Hishamuddin merujuk kepada seni tanaman hiasan Jepun yang mana pokok-pokok mini dihasilkan daripada pokok-pokok yang lebih besar dari jenis yang sama.

Dalam kontek ini, beliau telah menyamakan proses mengecilkan pokok-pokok ini dengan proses penyempitan minda orang-orang Melayu.

Menurut Hishamuddin:

Selama 22 tahun dengan pemerintahan kuku besi, Mahathir telah bersekongkol dengan Umno untuk menebar jala dan jaring agar tidak berkemungkinan manusia Melayu dapat memerdeka dan membebaskan fikrah mereka dari hegemoni Umno. Inilah yang dinamakan pembonsaian fikrah Melayu.

Umno telah memegang tampuk kuasa di negara ini selama 60 tahun, termasuk semasa negara menghadapi pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Dengan hasil minyak yang melimpah serta dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru, pemimpin politik Umno tanpa perlu bekerja keras dapat menikmati kekayaan dan kemewahan dengan cara yang mudah.

Di zaman kegemilangan ini, acara-acara Umno tidak ubah seperti satu pertunjukan fesyen di mana unsur-unsur kemewahan baik dari segi pakaian, barang kemas atau kenderaan ditayang dengan megah untuk semua melihatnya.

Kekayaan dan kemewahan ini telah menyebabkan mereka menjadi ketagihan. Dengan itu Umno perlu terus mengekalkan kuasanya dengan plot dan perancangan yang perlu dilaksanakan dengan apa jua sekali pun.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan menanam di minda masyarakat Melayu perasaan serba kekurangan dan persepsi yang kedudukan mereka terancam.

Minda mereka telah disogok dengan amaran yang mereka telah jauh ketinggalan dalam segala bidang dan apa yang masih tinggal dengan mereka – kekayaan mereka, tanah mereka, hak-hak mereka dan lain-lain – akan diambil oleh bangsa lain terutama orang Cina.

Nada amaran yang berbaur perkauman ini menguatkan lagi perasaan yang diri mereka terancam dan menambah rasa kebencian mereka terhadap kaum Cina. Mereka seterusnya disarankan untuk menyokong Umno, satu-satunya platform yang boleh menyelamatkan mereka.

Minda penduduk luar bandar di kalangan ramai orang Melayu memang mudah dikuasai. Cabaran yang timbul ialah bagaimana untuk mempengaruhi pemikiran golongan intelektual Melayu yang sebahagian besarnya adalah dari kalangan penjawat awam kerajaan dan ahli akademik.

Bagi tujuan ini, Biro Tata Negara (BTN) telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menguasai minda mereka. Penjawat awam dan ahli akademik telah diwajibkan untuk menghadiri kursus BTN sebelum mereka diberikan biasiswa dan dilepaskan untuk menyambung pengajian.

READ MORE:  'Bonsaisation' of people's minds: Biggest hindrance to nation's progress

 

Tidak semua di kalangan mereka ini berjaya di kuasai minda mereka.

Bagi mereka yang berjaya dipengaruhi, kumpulan ini dengan segera akan dikenalpasti untuk menjadi tompok penyebaran dalaman agenda propaganda parti pemerintah (deep state). Bagi mereka yang memilih laluan ini, syarat laluan kerjaya yang baru akan tersedia.

Kecekapan dan kecermelangan tidak lagi menjadi kriteria utama. Di sebaliknya kriteria ini telah diganti dengan tahap kesetiaan terhadap parti pemerintah dan semangat perkauman yang ditunjukkan – faktor-faktor utama yang menjadi landasan laluan alternatif yang mudah untuk peningkatan kerjaya.


No comments: