Rundingan PAS-Umno tak ada kemajuan, kata Muhyiddin
PETALING JAYA: Rundingan PAS dengan Umno tidak mencapai apa-apa kemajuan susulan pendirian parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu enggan bekerjasama, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Katanya, Majlis Tertinggi PN dimaklumkan PAS bahawa tiada rundingan rasmi antara kedua-dua parti berkenaan.
“Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah Umno membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU15 (pilihan raya umum ke-15).
“PAS juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Sept, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, mengingatkan pemimpinnya supaya tidak mengadakan “rundingan dalam gelap” susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa kedua-dua parti sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui siapakah individu Umno seperti dimaksudkan Hadi yang sedang menjalankan rundingan dengan partinya.
Keesokkannya, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengesahkan rundingan Muafakat Nasional (MN) ada dibincangkan secara rasmi dan tidak rasmi di peringkat tertentu.
“Apabila kita kata bincang dengan Umno tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu mungkin akan sampai ke arah itu, tetapi macam biasalah kita buat perundingan di peringkat tertentu yang tak perlu kita ‘disclosed’ (dedahkan),” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam Umno perbincangan itu berlaku, namun pemimpin terlibat “mempunyai jawatan” dan berkeupayaan “mempengaruhi keputusan” pucuk pimpinan Umno.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, berkata PN membuat ketetapan memberi tumpuan kepada usaha membela golongan miskin dan berpendapatan rendah berdepan kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.
” Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.