TAK PAYAH LA LETAK SYARAT BAGAI PADA MUDA TU. CAKAP SAJA TERUS TERANG MACAM PAS ...KAMI TAK MAHU MUDA.APA MASAALAHNYA. LAWAN LA BERAPA PENJURU SEKALIPUN.

 


Nak masuk PH, jangan kerjasama dengan Warisan, Muda diberitahu





Timbalan Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin berkata Muda
 tidak perlu menempel ke sana sini hanya untuk menang. (Gambar PKR)

PETALING JAYA: Akar umbi PKR dilihat terus “menyindir” sejauh mana komitmen Muda susulan parti itu berhasrat menyertai Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kali ini, Timbalan Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin, mahu Muda terus memutuskan sebarang kerjasama dengan Warisan memandangkan parti itu tidak lagi mesra PH.

Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Muda Sabah Amos Thien, yang masih mengharap kerjasama dengan Warisan, ketika Muda sudah meluahkan hasrat menyertai PH.

“Keputusan Warisan memutuskan hubungan dengan PH turut diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti itu, baru-baru ini.

“Muda perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah, status Muda dengan Pejuang sehingga hari ini masih belum ada noktah daripada parti itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis Presiden PH perlu mengambil keputusan bijak dan tidak “memikul” pihak yang hanya akan menjadi liabiliti dengan mengambil iktibar situasi pilihan raya negeri (PRN) Johor serta beberapa kenyataan angkuh pemimpin Muda.

“Kami telah membuka ruang kerjasama serta memberi tapak kepada Muda pada PRN Johor lalu, namun apa yang dilakukan parti tersebut sangat biadab ketika itu.

“Bermula dengan menuduh ADUN Ulu Tiram daripada PKR ketika itu sebagai tidak amanah. Kemudian laman media sosial Muda Johor memuat naik poster ‘Hentikan Korupsi’ dengan memaparkan logo PKR dan PH seolah dua entiti ini memberi dan menerima rasuah,” katanya.

Pada 6 Sept, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda berhasrat menyertai PH menjelang PRU15.

Katanya, Muda juga terbuka mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, selain menyasarkan bertanding kawasan Parlimen tidak lebih 15 kerusi.

Hari ini, Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar, mahu Muda menyatakan pendirian berhubung Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Dr Mahathir Mohamad, termasuk Pejuang yang secara terbuka menolak calon tunggal perdana menteri PH, Anwar Ibrahim.

Katanya, mustahil bagi akar umbi gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda jika gagal memuktamadkan sokongan tuntas kepada Anwar.

“Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan Muda, sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui secara kolektif,” katanya.