‘Pembonsaian’ pemikiran rakyat: Halangan utama terhadap pembangunan negara- SIRI 2

 


Ahli akademik separuh masak perlu dikenal pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar




Pembonsaian minda masyarakat Melayu tidak akan lengkap dengan hanya curahan propaganda dan pernyataan-pernyataan yang menakut-nakutkan. Suatu unsur yang kukuh perlu diperkenalkan. Di sinilah agama telah dieksploitasi dan disalahgunakan.

Penggabungan unsur agama dan bangsa telah memperkasakan proses pembonsaian minda Melayu. Masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut untuk menelan propaganda yang ditabur secara bulat-bulat, tetapi dengan tafsiran agama yang telah putarbelitkan juga dituntut untuk tidak mempersoalkannya.

Dengan ini proses pembonsaian minda Melayu dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Tugas untuk membonsaikan minda Melayu ini telah diberikan kepada ahli akademik Melayu yang telah dipengaruhi pemikiran mereka oleh Umno.

Mereka yang sering mengikuti perkembangan akademik tanah air mungkin menyedari tentang timbulnya isu-isu tidak puas hati mengenai perlantikan naib-canselor dan lain-lain jawatan tertinggi di universiti-universiti, yang tidak dibuat berdasarkan kebolehan tetapi berasaskan kronisme dan kesetiaan terhadap parti pemerintah.

Pucuk pimpinan tertinggi ini seterusnya akan melaksanakan agenda Umno dengan tindakan-tindakan yang cuba menutup mulut mereka-mereka yang lantang memberikan pandangan menentang dengan melabelkan mereka ini sebagai “anti-establishment”.

Dalam hal ini kesalahan mereka adalah kelantangan mereka bersuara dalam mengemukakan isu-isu yang melibatkan salah laku pentadbiran, ketiadaan langkah yang positif untuk meningkatkan taraf akademik yang semakin menurun, dan kes-kes kecurangan akademik yang tidak dibendung.

Mereka ini akan disisihkan dari arus utama kerjaya dan akan kekal di situ sehinggalah mereka bersara atau keluar meninggalkan universiti.

Layanan yang diberikan kepada mereka ini akan digunakan sebagai amaran untuk menghalang mereka-mereka yang lain dari melakukan perkara yang sama.

Langkah ini amat berkesan terutama di kalangan mereka yang baharu sahaja berkecimpung di dalam dunia akademik. Di kalangan mereka yang oportunis, ini adalah satu langkah yang mudah diikuti.

Malah ada yang sanggup untuk mengampu pucuk pimpinan universiti semata-mata untuk menentukan masa depan yang lebih cerah dan peluang kenaikan pangkat yang mudah. Tindakan mereka ini biasanya akan menghasilkan keputusan yang lumayan.

READ MORE:  'Bonsaisation' of people's minds: Biggest hindrance to nation's progress

 

Oleh kerana tujuan utama kewujudan pucuk pimpinan sebegini adalah untuk membonsaikan pemikiran, nilai mutu akademik tidak akan dipedulikan langsung.

Kes-kes curangan akademik di kalangan para academic dan pelajar biasanya dibiarkan berleluasa malah ada yang cuba ditutup mengakibatkan perbuatan ini semakin membiak.

Mereka yang mengambil kesempatan ini juga terdapat dari golongan etnik yang lain yang menyedari akan faedah budaya mengampu bodek.

Keadaan menjadi semakin genting apabila mereka yang separuh masak diambil untuk menjadi ahli akademik. Dengan ijazah yang ada, serta mempunyai hubungan atau jaringan politik tetapi tidak mempunyai bakat, kemahiran, sikap dan tahap intelektual yang diperlukan, mereka ini diambil untuk menjadi tenaga pengajar.

Perbincangan yang rancak baru-baru ini telah membicarakan isu penghasilan graduan PhD yang amat ramai bilangannya oleh sebuah universiti dan jumlah pelajar kelas pertama yang begitu besar yang telah dikecualikan pembayaran pinjaman pelajaran oleh kerajaan.

Ini mencerminkan yang penekanan kita dalam bidang pelajaran hanyalah kepada jumlah pelajar yang dikeluarkan dan bukannya terhadap mutu pelajaran yang diberikan. Ini adalah kerana sistem pendidikan kita telah banyak dipolitikkan.

Akibatnya terdapat banyak kekeliruan yang disengajakan berlaku. Pelajaran telah disatukan dan disalah ertikan dengan kepintaran yang mana ini adalah satu tanggapan yang salah.

Sebagaimana yang pernah disuarakan oleh Richard Feynman, seorang tokoh teori fizik yang terkenal: “Jangan sekali-kali terkeliru di antara pelajaran dan kebijaksanaan. Anda mungkin mempunyai ijazah PhD tapi masih kekal sebagai seorang dungu.”

Malangnya masyarakat kita masih terperangkap di dalam kekeliruan ini.

Dengan tahap mutu akademik yang rendah kita telah di banjiri dengan gerombolan ahli akademik yang mempunyai tahap intelek dan pengetahuan yang cetek. Bagi mereka satu-satunya cara untuk meningkat adalah dengan bermain politik.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila penjawat awam  yang telah bersara, melalui jaringan kenalan mereka dilantik ke jawatan akademik yang kanan berdasarkan gred gaji mereka sebelum bersara, semata-mata atas dasar “pengalaman profesional” mereka.

Walau pun tidak mempunyai sebarang pengalaman mengajar dan menyelia pelajar, membuat penyelidikan dan menghasilkan penulisan akademik, mereka ini dibayar dengan gaji yang lumayan. Ini adalah satu tanggapan yang tidak logik dan didorong oleh kepentingan sendiri.