BAGAIMANA SAYA PERASAN 1MDB-RAFIZI

 


IMBASAN

 

Saya mula perasan mengenai 1MDB tahun 2011 selepas syarikat itu membayar berbilion ringgit untuk membeli blok minyak mentah melibatkan PetroSaudi. 

 

Pada ketika itu, baru dua tahun saya meninggalkan dunia oil & gas. Masih ramai kawan-kawan dalam O&G dan saya juga masih mengikuti dengan dekat perkembangan O&G. Maklumat dari dunia O&G ketika itu mempersoalkan sama ada blok yang dibeli itu benar-benar wujud. Lagi pun, jika benar wang rakyat mahu digunakan untuk membeli blok minyak, bukankan lebih baik melalui PETRONAS?

 

Saya pernah selit soal 1MDB dalam ucapan-ucapan sepanjang 2011-2012 tetapi tidak ke mana sebab tiada bukti yang sahih.

 

Kenyataan saya yang pertama ialah pada 23 April 2013 kerana berita melaporkan 1MDB memindahkan sejumlah RM7 bilion ke akaun sulit di Cayman Island, pusat kewangan pesisir pantai (“offshore financial centre”). Saya mula kenal mengenai Cayman Island seawal belasan tahun dari membaca buku The Firm tulisan John Grisham. Sebagai akauntan, saya tahu Cayman Island tempat wang disembunyikan.

 

Ini kenyataan rasmi pertama saya mengenai 1MDB pada 23 April 2013:

https://rafiziramli.com/2013/04/1mdb-pindah-rm7-bilion-wang-rakyat-ke-akaun-sulit/

 

Seminggu selepas kenyataan ini, saya menerima surat saman pertama mengenai kes 1MDB (dah banyak saman lain mengenai kes NFC sebelum itu ha3). Saya belum lagi menjadi Ahli Parlimen ketika itu.

 

Di antara tahun 2013 hingga sekarang, saya telah menulis 123 artikel dan kenyataan media mengenai SRC dan 1MDB. Kesemuanya saya arkibkan di sini:

https://rafiziramli.com/category/1mdb/page/25/

 

Sembilan tahun hidup saya dihabiskan mengejar kes SRC/1MDB dan dalang-dalang dibelakangnya. 

 

Semasa saya berkempen ke arah PRU14 dahulu, saya sering berseloroh bahawa saya akan membawa trak saya untuk menjemput Najib ke penjara atas tindakannya melalui SRC/1MDB yang menyebabkan rakyat berhutang lebih RM50 bilion.

 

Peristiwa hari ini bukan satu kemenangan kepada sesiapa. Ia satu tragedi kepada negara dan rakyat, wang yang hilang itu tidak akan kembali. Skandal SRC/1MDB memecah belahkan rakyat dan negara. Banyak individu yang menanggung kepayahan untuk memastikan kebenaran ditegakkan.

 

Peristiwa hari ini satu keinsafan bahawa kita hanya manusia yang mengikut ketentuan Allah, tidak kira apa darjat dan kedudukan kita di mata manusia lain.

 

Semoga kita diampunkan atas semua dosa-dosa dan kesalahan kita.