Najib sukar cabar sabitan hukuman, kata Anwar


Anwar Ibrahim percaya Najib Razak akan ditempatkan dalam penjara lebih baik daripadanya pada awal 2000, selepas bekas timbalan perdana menteri itu dinafikan mendapatkan buku dan lawatan keluarga ketika menjalani hukuman.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan Najib Razak berdepan situasi amat sukar untuk mencabar sabitan dan hukumannya, mengambil kira pengalamannya terdahulu yang pernah disabit bersalah berkait kesalahan rasuah dan liwat.

Bekas perdana menteri itu, bagaimanapun, boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, kata Anwar dalam wawancara bersama CNBC.

Namun, memandangkan impak kewangan berhubung skandal 1MDB, Najib akan berdepan kesukaran, kata presiden PKR itu.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman kes SRC International, dengan Najib dihantar ke Penjara Kajang, susulan keputusan mahkamah tertinggi itu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Keputusan itu menjadikan Najib sebagai bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara ini dipenjara.

Anwar percaya Najib akan ditempatkan dalam penjara lebih baik daripadanya pada awal 2000, selepas bekas timbalan perdana menteri itu dinafikan mendapatkan buku dan lawatan keluarga ketika menjalani hukuman.

“Dari apa yang saya faham daripada ‘rakan’ lama (yang juga) pegawai penjara, beliau akan diberikan layanan lebih baik, beliau akan diberi beberapa kemudahan,” katanya.

“Namun, penjara bukan tempat yang selesa. Ia sukar, terutama nak dibandingkan gaya hidup (Najib) seperti hotel tujuh bintang. Beliau akan berdepan pengalaman sukar,” katanya.

Awal hari ini, Jabatan Penjara menyangkal khabar angin bahawa Najib akan menerima layanan istimewa di Penjara Kajang, seperti ditularkan di media sosial.

Pada April 1999, Anwar dihukum penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, manakala pada Ogos 2000, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana meliwat.

Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitannya digugurkan. Bagaimanapun, beliau sekali lagi dipenjara pada 2014 kerana meliwat sebelum menerima pengampunan diraja. Beliau dibebaskan, pada 2018.


No comments: