'Tiada sesiapa di atas undang undang' telah ditegakkan di Malaysia - Pusat C4


 Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam melaksanakan keputusan yang betul dengan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.


Menurut Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), keputusan sebulat suara 5 hakim itu merupakan satu seruan keadilan yang hebat bagi bangsa dan negara.


"Penghakiman tegas ini menegakkan kembali prinsip tiada siapa boleh atasi undang-undang di negara ini, termasuklah seorang bekas Perdana Menteri.


"Pusat C4 meraikan kekuatan dan kebebasan institusi kehakiman Malaysia dan semangat kolektif rakyat Malaysia yang gigih dalam usaha memastikan individu yang pada suatu ketika dahulu merupakan individu yang paling berkuasa di negara ini, sujud di muka keadilan.


"Najib Razak telah pun disabit dan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, dan keputusan ini dikekalkan oleh semua hakim yang bersidang di kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.


"Tidak diragukan lagi bekas Perdana Menteri ini benar-benar bersalah atas tuduhan jenayah yang didakwa terhadapnya," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat C4.


Bagaimanapun, Pusat C4 menyuarakan kekesalan mereka kerana perjuangan undang undang yang berakhir semalam dipenuhi pelbagai percubaan bagi melanjutkan prosiding, termasuklah permintaan penangguhan kes dan pertukaran peguam yang berterusan daripada pihak Najib Razak.


Dalam pada itu, kata Pusat C4, banyak lagi skandal yang memelerukan penyelesaian melibatkan Najib semasa tempoh pentadbirannya. Misalnya penglibatan Najib dalam skandal pembelian kapal selam Scorpene, pembunuhan Altantuya Shariibuu dan juga skandal kapal LCS baru-baru ini yang melibatkan penggelapan wang berbilion-bilion ringgit.


"Apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan semalam membuktikan bahawa beban yang digalas oleh mereka yang memberi maklumat, menyiasat, menjalankan proses pengadilan, dan menentang ketidakadilan akhirnya telah membuahkan hasil.


"Selama bertahun-tahun, Pusat C4, bersama dengan rakan kongsi organisasi serta orang awam telah menghadapi pelbagai cabaran bagi menegakkan kebenaran dalam kes ini.


"Hukuman terhadap Najib Razak telah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan telah meniup semangat baharu untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik.


"Sambil kita meneruskan usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa, wajarlah untuk kita sebagai rakyat mengambil iktibar bahawa kejayaan hanya boleh dicapai dengan usaha bersama.


"Keputusan bersalah bekas Perdana Menteri ini merupakan hasil keringat pemberi maklumat, pekerja media, penyiasat, organisasi masyarakat sivil, pegawai kerajaan dan orang awam yang tampil untuk mendedahkan jenayah yang dijalankan kepada orang ramai," kata kenyataan itu lagi.


Menurut Pusat C4, perjuangan menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu diteruskan


Keputusan semalam juga, kata pusat itu, merupakan satu peringatan kepada mereka yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri, yang memanipulasi institusi-institusi awam untuk menyembunyikan kesalahan, bahawa mereka tidak sesekali akan dapat mengatasi keadilan.

No comments: