Buat pertama kalinya dalam
catatan sejarah negara, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas perdana
menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd
berjumlah RM42 juta.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini
yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta
atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib sekali gus
menyaksikan perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di
peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.
Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang
kira-kira 5.43 petang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna
hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.
Istana Kehakiman mula menjadi tumpuan orang
ramai bagi mengetahui nasib Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu
dengan perkarangan mahkamah dibanjiri lebih 300 penyokong termasuk Presiden
Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Makkal Sakthi Datuk Seri RS
Thanenthiran serta lebih 30 agensi media dari dalam dan luar negara mula
berkumpul seawal pagi bagi membuat liputan kes tersebut.
Ketika hujan lebat
seawal 7 pagi, kelihatan 10 bas yang membawa penyokong dari Pekan, Pahang
terdiri daripada ahli Umno dan ketua cawangan Umno Pahang serta ahli
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pahang parkir berhampiran
Istana Kehakiman.
Isteri Najib, Datin Seri
Rosmah Mansor dan anak mereka, Datuk Mohd Nizar, Nooryana Najwa dan Norashman
serta Datuk Mohd Nazifuddin turut hadir semasa prosiding itu.
Najib yang keluar
berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira 3.10 petang
ketika prosiding ditangguhkan sementara, mendakwa beliau tidak mendapat
keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya dan beliau sempat
meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari
ini tidak berpihak kepada beliau.
“Saya ucap terima kasih
kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya
minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya
mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.
Terdahulu, panel lima
hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak
rayuan akhir bekas menteri kewangan itu untuk mengetepikan sabitan dan
hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Pada 8 Dis 2021, Najib,
69, gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi.
Ketika prosiding bermula
pada 9.40 pagi, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang dilantik Najib pada 26 Julai
lepas bagi mewakilinya, mengemukakan permohonan supaya Hakim Tengku Maimun
menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.
Hisyam memaklumkan
bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan supaya hakim nombor satu
negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut lewat malam tadi dan
salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, permohonan
itu yang dikemukakan di saat-saat akhir ditolak oleh mahkamah.
Kemunculan Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah, yang digugurkan daripada menjadi peguam utama Najib,
turut mencuri tumpuan selepas Hisyam memaklumkan kepada panel lima hakim bahawa
Muhammad Shafee akan membantu beliau dalam permohonan menarik diri tersebut.
Hakim Tengku Maimun
menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding
penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam
meneruskan hujahannya.
Sebelum panel lima hakim
membuat keputusan berhubung rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu, Najib yang
membacakan pernyataan 20 muka surat dari kandang tertuduh, mendakwa badan
kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya kerana sepanjang minggu lepas,
beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara
perlahan-lahan.
“Sebagai seorang tertuduh
dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu
apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak
adil,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim
Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu
memutuskan bahawa Najib tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke
dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC.
Dalam pada itu, Pejabat
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) telah membuat laporan
polis berkenaan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan akhir Najib, yang
telah bocor kepada pihak media hari ini.
Dalam satu kenyataan
lewat petang ini, pejabat itu merujuk kepada satu laporan yang disiarkan portal
Malaysia Today hari bertajuk ‘Najib’s Razak SRC Appeal: The Judgement’ yang
mengandungi deraf kerja yang belum dimuktamadkan serta dokumen bocor yang telah
diubah suai.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4
Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna
kedudukan berhubung dana SRC International. Kes kemudian dipindahkan ke
Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Beliau
sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan
pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil
kegiatan haram dan kesemuanya kes itu dibicarakan bersama.
Pada
3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan
Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan
terhadapnya adalah cacat.
Najib menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.