Hanya
semalaman selepas Najib Razak mendekam di Penjara Kajang bagi menjalani hukuman
penjara 12 tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya semalam, hari
ini terlihat sudah ramai kalangan penyokongnya yang bercakap tentang usaha
mendapatkan pengampunan diraja buat beliau.
Sekumpulan penyokong beliau juga turut
menghantar memo kepada Istana Negara.
Kata mereka, atas kedudukan Najib sebagai
bekas Perdana Menteri serta atas jasa-jasanya kepada negara, bekas Perdana
Menteri itu amat berhak mendapat pengampunan diraja daripada Yang Dipertuan
Agong.
Lagi pula, tambah mereka, selain Agong dan
Najib mempunyai hubungan peribadi yang rapat, kedua-duanya juga berasal dari
Pahang.
Dengan demikian, tiada masalah bagi Agong
untuk memberi pengampunan kepada Najib, ujar mereka lagi.
Dalam hal berkaitan, jika ditanya kepada ramai
peguam, hampir semuanya mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai bila
pengampunan diraja itu boleh diberikan.
Ada yang mengatakan pengampunan diraja hanya
boleh diberi setelah menjalani separuh hukuman penjara, ada yang mengatakan
setelah sekurang-kurangnya tiga bulan duduk di penjara dan ada pula mengatakan
tiada had masa yang tertentu sebagai syaratnya.
Kata kelompok itu, waima setelah sehari masuk
penjara pun boleh diberi pengampunan diraja jika Agong mahu berbuat demikian.
Wowww….terbayangkah kita hanya sehari setelah
masuk penjara, tiba-tiba Najib sudah dibebaskan?
Begitu pun, untuk pertimbangan kewarasan
sesama kita, hendaklah disedari bahawa Najib dipenjara kerana kesalahan jenayah
iaitu rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram berkaitan dana SRC
International, sebuah anak syarikat 1MDB.
Atas kesalahan tersebut, sudah tentu banyak
pertimbangan harus menjadi perkiraan Agong, terutama mendapat nasihat daripada
Peguam Negara terlebih dahulu.
Selain itu, sesuai dengan konsep Raja
Berperlembagaan yang diamalkan negara ini, segala tindakan Agong dalam memberi
sesuatu pengampunan diraja bukanlah atas budi bicara baginda secara peribadi,
tetapi setelah dinasihati oleh Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan pula dianggotai antaranya
oleh Perdana Menteri, Peguam Negara dan menteri yang menjaga sesuatu wilayah di
mana pesalah itu menjalani hukuman, manakala Agong adalah pengerusinya.
Dalam keadaan tersebut, rasanya mudah untuk
kita memahami bahawa prosesnya tidaklah sesenang memasak roti canai segera –
panaskan kuali, tebar dan kemudian boleh terus dimakan.
Dalam konteks Najib dan hukuman penjara yang
diterimanya, bukan tidak boleh mengusahakan pengampunan buat beliau, tetapi
jika kita imbas kembali sepanjang perbicaraan yang lalu, bekas Perdana Menteri
itu sendiri berulang kali menyatakan beliau tidak takut berdepan proses
keadilan, malah beberapa kali melaungkan ungkapan “Lawan Tetap Lawan”.
Beliau juga mahu berjuang bersendirian
mendapatkan keadilan tanpa mengheret UMNO sekali bersamanya.
Makna kata, Najib adalah seorang yang berani,
sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.
Lebih daripada itu, UMNO sendiri adalah sebuah
parti perjuangan yang rentetan keberaniannya sejak melawan Malayan Union, jika
disenaraikan, adalah begitu panjang sekali.
Kesimpulannya, Najib dan UMNO adalah rangkuman
keberanian yang tiada tolok bandingnya.
Maka, kenapa para penyokongnya terlalu awal,
baru hanya sehari beliau duduk di penjara, sudah mula bercakap soal pengampunan
diraja?
Tak bolehkah tunggu tiga bulan, tiga tahun
atau enam tahun baru nak bercakap tentang pengampunan diraja?
Cisss…janganlah malukan serta lekehkan
keberanian Najib!! – ShahbudinHusin 24/08/2022.