AZALINA, PENASIHAT KHAS PM TAPI SECARA TERBUKA HENTAM PM – BILA LAGI NAK LETAK JAWATAN?

 

Dalam majlis taklimat Presiden UMNO semalam yang sebenarnya lebih berupa majlis solidariti kepada Najib Razak yang dipenjara atas kesalahan jenayah, pemimpin UMNO yang terlihat begitu ghairah, seronok dan bersemangat memberi ucapan ialah Azalina Othman Said.

Sasaran ucapannya adalah Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkaitan hal perlantikan Peguam Negara.

Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri perlu melantik “orang dia” sebagai Peguam Negara untuk memudahkan urusan sebagai Perdana Menteri.

“Pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan Perdana Menteri harus melantik “orang dia” bagi jawatan tersebut untuk mudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara?

“Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar Peguam Negara pun tak boleh,” katanya bersambut sorakan kuat daripada para hadirin.

Dengan menyebut perkara demikian, walaupun tidak menyebut nama, adalah jelas dan tidak diragui lagi bahawa Azalina telah menghentam Ismail Sabri secara terbuka.

Sebaik mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2020, selain terus mengekalkan Idrus Harun sebagai Peguam Negara, Ismail Sabri turut membuat beberapa perlantikan yang lain.

Antaranya ialah Azalina sendiri dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Berita perlantikan beliau disiarkan dalam pelbagai media pada 2 Oktober 2021, namun difahamkan Azalia menerima surat perlantikannya daripada Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri pada 30 September 2020.

Sehingga hari ini dipercayai Azalina masih memegang jawatan tersebut kerana tidak terdengar sama sekali beliau sudah meletakkan jawatannya itu.

Dengan demikian, bagaimana seorang Penasihat Khas Perdana Menteri boleh secara terbuka di pentas UMNO mempertikai dan menghentam Perdana Menteri iaitu bossnya sendiri?

Mengapa bellau tergamak menggigit tangan orang yang memberinya jawatan?

Jika beliau mempertikaikan Perdana Menteri kerana tidak menukar Peguam Negara, bagaimana dengan dirinya sendiri sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri, tapi menghentam Perdana Menteri?

Bukankah perlakuan beliau itu adalah seburuk-buruk perangai sebagai manusia?

Dalam pada itu, jika penukaran Peguam Negara dipertikaikannya, pernahkah beliau sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri berkaitan Undang-Undang menasihati Perdana Menteri untuk menukar Idrus dan melantik orang baru sebagai Peguam Negara?

Jika tidak, apa kerja beliau selama ini sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri?

Pernahkah juga kita dengar Azalina melalui jawatannya itu melakukan sesuatu kerja yang lain yang bermanfaat untuk rakyat?

Adakah hanya makan gaji buta saja?

Dan terlanjur beliau telah menunjukkan perlakuan serta perangai sedemikian rupa – satu saja nak tanya – bila lagi nak letak jawatan? – ShahbudinHuisin 28/08/2022.



No comments: