KEH..KEH-TAK ADA KLUSTER MAHKAMAH KATA ZAHID- TAPI Kluster mahkamah tunjuk kuasa tekan PM

 

Kluster mahkamah tunjuk kuasa tekan PM



Kira-kira 3,000 pemimpin bahagian Umno menghadiri perhimpunan di ibu pejabat parti semalam untuk diberi taklimat mengenai “isu semasa”. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Perhimpunan khas yang diadakan Umno semalam disifatkan sebagai “pertunjukan kuasa” untuk mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan pilihan raya umum awal.

Perhimpunan itu juga diadakan untuk menunjukkan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya, Najib Razak, “masih memegang kuasa” walaupun Najib baru-baru ini dipenjarakan, kata James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania.

“Mereka mahu ingatkan ahli (Umno), terutamanya yang berada dalam kluster kerajaan, bahawa mereka memegang majoriti,” katanya kepada FMT.

Istilah “kluster kerajaan” digunakan dalam kalangan orang politik untuk menggambarkan ahli Umno yang terbabit dengan kerajaan semasa.

“Kluster mahkamah” pula merujuk kepada individu-individu seperti Zahid, Najib dan lain-lain yang berdepan perbicaraan atas pelbagai tuduhan.

Chin berkata, perhimpunan itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Ismail, yang juga naib presiden parti, supaya mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

Sebelum ini dilaporkan bahawa mereka yang sealiran dengan Zahid mendesak agar pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal susulan kemenangan yang dikecapi parti itu pada pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, Ismail baru-baru ini memberi bayangan bahawa PRU mungkin ditangguhkan berikutan kontroversi mengenai perolehan enam frigat dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

Felo kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan menyuarakan sentimen yang sama mengenai taklimat khas tersebut, yang diadakan untuk pemimpin bahagian.

Beliau berkata, Ismail harus menetapkan tarikh selaras dengan “kehendak Umno”. Tekanan Umno terhadap Ismail berkesan, katanya, memandangkan perdana menteri itu “bersendirian dan tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh”.

“Perhimpunan itu adalah untuk memaksa Ismail menggunakan kuasanya sebagai perdana menteri (untuk memanggil PRU) dan membuktikan bahawa beliau sememangnya orang Umno,” kata Azmi.

Azmi berkata, walaupun Ismail mempunyai kata putus mengenai pilihan raya, beliau ahli Umno, yang kepimpinan partinya turut menentukan bila Parlimen patut dibubarkan.


No comments: