Musuh politik yang menghina perjuangan KEADILAN sejak 1998 lalu kini merasai perubahan yang dibawa oleh arus Reformasi selepas dua dekad.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, dalam tempoh yang panjang, bergerak perlahan tetapi pasti rakyat mula menerima keupayaan parti pelbagai kaum untuk bersatu dan memerintah berbanding sebelum ini hanya parti menggunakan platform kaum dan agama sahaja yang dianggap layak memerintah.
"Musuh kita mengejek, tetapi mereka lupa kita telah memimpin perubahan selama 20 tahun dalam negara. 1998 dahulu bila Reformasi berlaku, pimpinan senior kita mengambil keputusan kita bawa politik pelbagai kaum. Ramai salahkan bukan Melayu kerana tidak mahu bawa perubahan.
"Kerana kita kental dengan konsep pelbagai kaum itulah kawan lama kita, Pas tinggalkan kita. Mereka tak percaya dengan politik pelbagai kaum.
"Namun kalau tidak kerana politik pelbagai kaum itu, kita mustahil menang pada tahun 2018.
"Sebab tahun 2018 itu adalah gelombang rakyat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan (meyakini PH). Kalau kita ambil jalan yang Pas ambil, yang sekarang Bersatu ambil, kita tidak memimpin," katanya.
Menurut Rafizi lagi, menjadi satu ironi selepas 2 dekad bukan sahaja bekas pemimpin Umno menjadi sekutu KEADILAN tetapi cogan kata keramat Reformasi "Lawan Tetap Lawan" telah digunakan oleh penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam menentang kerajaan yang menjatuhkan keputusan bersalah terhadap pimpinan ulung mereka.
"Bila bicara Najib (di Mahkamah Persekutuan) ada penyokong berteriak Lawan Tetap Lawan. Berpuluh tahun hina Lawan Tetap Lawan sekarang Allah terbalikkan kamu yang menjerit Lawan Tetap Lawan.
"Sebab itu yakin kita kena memimpin," katanya.
Untuk kerajaan PH yang diejek gagal selama 22 bulan, Rafizi berkata beliau berbangga kerana dengan tumbangnya Umno BN maka pejuang Reformasi telah memberi satu pengajaran berguna buat rakyat Malaysia, iaitu sesiapa yang culas dalam memerintah, mereka boleh dijatuhkan.
"Apa jasa PH 22 bulan?
"Saya bangga untuk satu perkara. Niat saya satu, saya nak pastikan Umno BN kalah supaya rakyat yakin mereka raja negara ini.
"Bila rakyat tahu mereka raja maka parti mana buat sial, aku pecat kamu. Menteri mana sakau duit, ke Kajang mereka pergi.
"Kalau orang tanya kita apa pencapaian kita? Kita tak perlu dabik dada tetapi kita telah hadiahkan kepada rakyat satu kebebasan membuang kerajaan yang tidak baik," katanya.