Dengan niat betul berpolitik, setiap kali jatuh kita pantas bangkit kecapi kejayaan - Rafizi


 KEADILAN mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki parti lain, iaitu mampu bangkit dengan pantas setiap kali dijatuhkan atau kalah.


Menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, semangat luar biasa itu akan digunakan sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin diadakan pada penghujung tahun ini.


"Kita alami kekalahan yang menyedihkan, tetapi itu kekuatan utama parti kita. Setiap kali kita jatuh, kita cari kekuatan dalaman, kita bangkit dalam masa yang cukup pendek


"Kita mendengar dan belajar. Kalau 6 bulan lepas macai macai Umno berbangga di media sosial, hari ini kita berbangga dengan saudara saudari dan seluruh sahabat kita di luar, saya rasa kita sudah pun hampir menang perang media sosial.


"Saya tidak mahu ambil masa yang panjang kerana hari ini kita kesuntukan masa. Semua yang kita buat dari sekarang dengan notis pendek. Kita akan bekerja dengan usaha yang tidak pernah kita buat sebelum ini," katanya dalam ucapan di Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Shah Alam, petang tadi.


Selain itu, isu yang paling ditekankan oleh Rafizi adalah mengenai niat sebenar anggota masuk politik dan menyertai pilihan raya.


Katanya, niat yang tidak betul menyebabkan ahli politik sepanjang 4 tahun ini lintang pukang dan tidak mampu mentadbir negara dengan betul manakala Perdana Menteri silih berganti.


"Perkara paling penting, kenapa kita masuk PRU? Setiap yang kita buat mestilah bermula dengan matlamat dan niat yang betul


"Kalau matlamat tidak betul, niat tidak betul, kita lihat sejak 2018 kerajaan demi kerajaan jatuh ditikam.


"Akhirnya mereka akan mencatat sejarah sebagai pimpinan negara yang paling pendek memerintah.


"Saya nak beritahu Muhyiddin, Ismail Sabri, saudara merasakan duduk di tampuk Perdana Menteri itu hebat. Kalau saudara tidak menjaga rakyat, 5 tahun dari sekarang tidak ada siapa pun yang ingat kepada Muhyididn, Ismail kerana selepas ini pimpinan demi pimpinan muncul


"Sebab itu nak masuk PRU niat kena betul. Kita nak masuk bukan sebab jawatan, habuan. Kita masuk atas sebab tanggungjawab dan amanah kerana sedar kerosakan dalam kalangan kita," katanya.


Mantan Ahli Parlimen Pandan itu mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara kaya hasil bumi dan memiliki kekayaan budaya Melayu, Cina dan India. Tidak ada sebab penduduknya merasa sukar dan hidup dalam kedaifan.


Beliau turut membuat perbandingan dalam sedekad ke hadapan China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia, India akan menjadi negara yang kuat ekonomi serta pengaruh dan Indonesia akan menjadi kuasa ekonomi antara 10 terbesar di dunia, lalu apakah Malaysia yang memiliki kesemua bangsa di dalamnya tidak mampu menjadi kuasa besar.


"1970an dahulu kalau dibanding Thailand, Burma, Indonesia, Filipina, gaji dan keselesaan rakyat kita paling baik di rantau ini selepas Singapura. Sekarang ekonomi kita bukan sahaja jatuh nombor 3 atau 4 tetapi kita jatuh di belakang Singapura, Taiwan, Filipina dan Vietnam


"Saya tidak tahu berapa ramai yang maklum secara rasmi dalam liga ekonomi rantau ini, kita sudah lama jatuh ke divisyen 2. Sebab itu Azmin sembang dia bawa masuk pelaburan, kalau kita tahu keadaan di luar pelabur dia tengok Malaysia dalam liga divisyen 2. Mereka lebih suka ke Thailand, Indonesia dan Filipina.


"Bagi yang tak tahu makro ekonomi dia tidak sedar. Orang duduk di Putrajaya mungkin kata angka ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi baik tetapi saudara saudari tengok sendiri kehidupan rakyat kita semakin susah. Anak muda kalau susah payah cemerlang di universiti pun belum tentu dapat kerja baik. Kalau kerja belum tentu dapat pendapatan setimpal dengan pekerjaan, kalau berniaga kais pagi makan pagi," katanya.


Oleh itu, tegas Rafizi amat perlu bangsa Melayu, pengundi terbesar di negara ini disedarkan bahawa kehidupan mereka menuju ke jurang kehancuran disebabkan oleh parti Melayu yang memainkan sentimen kaum dan agama untuk kekal berkuasa.


Atas sebab itu, katanya, KEADILAN masuk pilihan raya dan mahu membelam kehidupan rakyat.


Oleh kerana perjuangan suci itu, kata Rafizi, maka anggota KEADILAN tidak boleh mensabotaj kawan sekiranya tidak menjadi calon atau mengulangi perilaku Azmin Ali jika tidak terpilih menganggotai kerajaan.


"Kita masuk PRU untuk membaiki keadaan, kita ada anak, cucu. Mereka berhak dapat negara lebih baik. Tidak adil kalau mereka warisi hutang kerana kita tidak mahu bekerja lebih (menjatuhkan BN - PN). Masalah yang ada di negara ini kalau kita tak selesaikan sekarang, kita adalah bahagian masalah yang akan ditanggung oleh generasi muda.


"Nasib anak muda, anak kita, bukan ditangan Anwar, bukan ditangan saya tetapi di tangan setiap daripada kita," katanya lagi.