PM TIDAK HADIR TAKLIMAT UMNO SATU TINDAKAN TEPAT


 Dalam majlis taklimat Presiden UMNO di WTCKL petang tadi yang sebenarnya lebih berupa program solidariti untuk membebaskan Najib Razak dan mempertikaikan sistem keadilan negara, ia telah tidak dihadiri oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam masa yang sama, sebagai sebahagian agenda mempersalahkan Ismail Sabri kerana Najib dipenjarakan, jeritan “Mana Mail” dan “booo” juga kerapkali kali kedengaran di dalam Dewan Merdeka yang seolah-olahnya memang sudah dirancang sedemikian rupa.

Saya sejak awal pagi tadi lagi sudah diberitahu oleh satu sumber yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri tidak akan hadir dalam program tersebut.

Berikutan itu, ketidakhadiran Ismail Sabri itu telah saya titipkan dalam nukilan pendek di laman sosial FB sebelum tengahari tadi.

Dimaklumkan dalam pelbagai laporan berita kemudiannya bahawa Ismail Sabri tidak hadir kerana beliau ada acara lain melibatkan rakyat di negeri Pahang.

Persoalannya, apakah wajar Perdana Menteri tidak hadir dalam taklimat itu?

Memandangkan momentum menyalahkan beliau apabila Najib dipenjarakan sudah kedengaran sejak awal lagi, ditambah dengan berlakunya jeritan “Mana Mail” dan “booo” terhadapnya dalam majlis taklimat petang tadi, keputusan Ismail Sabri tidak hadir adalah keputusan yang tepat dan bijak.

Jika tidak, buta-buta saja beliau akan dijadikan hentaman serta balunan semua orang yang berucap petang tadi tanpa mereka memikirkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Apalagi bila mereka yang berucap itu mempertikaikan proses keadilan secara terbuka, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan sendirinya akan terjebak dalam pertikaian terhadap sistem pemisahan kuasa yang beliau sebenarnya memang tidak berhak campurtangan di dalamnya.

Oleh itu, keputusannya tidak hadir adalah tindakan yang harus dipuji dan telah menyelamatkan keadaan.

Dalam konteks UMNO pula, sebagai Naib Presiden parti, keputusan tidak hadir itu juga telah berjaya menghadkan kemarahan dan suara jeritan “Mana Mail” serta “booo” terhadapnya oleh kalangan sebahagian anggota yang emosional.

Kalau beliau hadir, sudah tentu suara jeritan itu tambah nyaring dan bergema lagi.

Pokoknya dalam hal ini Ismail Sabri telah memilih jalan terpuji iaitu enggan berbalah dengan akar umbi partinya sendiri.

Di waktu yang sama, dengan tidak membatalkan kehadiran di program di Pahang itu, Ismail Sabri dengan sendirinya menghantar mesej yang jelas bahawa bellau lebih mengutamakan rakyat berbanding melayan anggota parti yang emosi.

Tambahan lagi, Zahid Hamidi ternampak kerap sangat menganjurkan program parti sejak minggu-minggu kebelakangan ini, dengan sebahagiannya dilakukan secara mengejut dan notis yang pendek seperti perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pada Isnin lalu.

Malah, taklimat petang tadi pun boleh dikira dilakukan secara mengejut dan dengan notis yang pendek juga iaitu hanya diputuskan setelah Najib dihantar ke penjara.

Orang tiada kerja bolehlah melayan semuanya, tapi Perdana Menteri sudah tentu terikat dengan pelbagai program dan jadual yang telah ditetapkan.

Apa pun, sebagaimana dijangka, majlis taklimat petang tadi tidak ada apa-apa yang luar biasa dicapai daripadanya, antaranya pastilah kerana Ismail Sabri memilih langkah bijaksana tidak menghadirinya. – ShahbudinHusin 27/08/2022.