UGUT AHLI PARLIMEN DAN PEJABAT PKR DIBAKAR- TAK LAMA DAPAT LA CEKUP. CCTV ADA DAN PERCAYA POLIS AKAN DAPAT TANGKAP.

 

Ahli Parlimen JB diugut bunuh, pejabat bahagian PKR dibakar




Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pusat khidmat rakyat Parlimen Johor Bahru dibakar dipercayai akibat khianat dan sabotaj. (Gambar Twitter)

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang pemilik akaun Facebook, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal berkata, individu yang mengugutnya meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara yang mengandungi ugutan berkenaan, bahasa kesat serta makian.




Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu pada masa sama, berkata pejabat bahagian PKR Johor Bahru di Larkin, yang juga merupakan pusat khidmat rakyat Parlimen Johor Bahru, disyaki dibakar kira-kira 6 pagi tadi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tinjauan di lokasi, kejadian ini dipercayai perbuatan khianat dan sabotaj dengan terdapat lima tayar dikumpulkan di hadapan pintu pejabat sebelum api dinyalakan.

“Saya tidak pasti sama ada ugutan dan kebakaran itu melibatkan individu sama atau sebaliknya, namun untuk mengatakan kedua-duanya hanyalah kebetulan adalah sedikit pelik kerana perbezaan tempoh masa yang dekat,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabat berkenaan.

Beliau berkata, akibat kebakaran itu, beberapa kerosakan berlaku antaranya pintu “roller shutter”, dua unit penyaman udara, dinding pejabat dan beberapa barangan lain.

Bekas ketua Pemuda PKR itu berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pada 2.15 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung dua kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Selain itu, Raub berkata laporan polis berhubung kes ugutan baru diterima dan akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


No comments: