Tangguh pinda Akta Kerja bukti BN – PN khianat pekerja
Penangguhan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 daripada 1 September ini kepada 1 Januari 2023 menunjukkan kerajaan BN – PN cuai dalam menjaga kebajikan para pekerja Malaysia.
Bagi Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, tindakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberikan majikan penangguhan selama 3 bulan amat mengguris hati para pekerja.
Katanya, beliau tidak dapat menerima alasan penangguhan itu yang dikaitkan dengan kekurangan buruh asing dan sebagainya.
“Yang dipinda ialah seksyen 60A, waktu kerja 48 jam kepada 45 jam. Apa masalah 3 jam itu melibatkan pekerja asing. Apa relevannya?
“Saya sebenarnya rasa isu yang dibangkitkan pihak kementerian ini lebih kepada menjaga hati pihak majikan yang kita nampak hari ini takut sangat pindaan dilakukan, konon memberi kesan negatif kepada ekonomi negara
“Saya lihat kerajaan bukan sahaja tidak memahami kehendak rakyat, dia juga kebelakang dalam hal ini. Tidak berani nak ke depan.
“Saya sedih kerana kerajaan terlampau tunduk kepada pihak persyarikatan,” katanya dalam forum maya di Suara Keadilan bertajuk: “Akta Kerja 1955 Ditangguh?”, malam tadi.
Akta Kerja 1955 yang dipinda pada Mac lalu memberi kelebihan kepada pekerja melalui penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.
Dengan penangguhan itu, kata Abdullah Sani, pekerja terpaksa menunggu 3 bulan lagi untuk mendapatkan kelebihan berkenaan.
Itu pun, katanya, jika tidak berlaku pilihan raya umum pada tahun ini. Sekiranya berlaku maka kerajaan berikutnya mungkin mempunyai dasar baharu pula.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, sebaiknya Menteri Sumber Manusia meletak jawatan sahaja seandainya beliau tidak bersedia menguatkuasakan pindaan akta berkenaan.
“Kalau dia tidak sedia, letak jawatanlah. Bagi mereka yang bersedia
“Sebenarnya saya tak nampak kerunsingan hak ini (kelebihan kepada pekerja) akan memberi kesan buruk kepada negara.
“Tempoh September ini dan 1 Januari 2023 pula 3 bulan sahaja. Dan kita telah melalui beberapa bulan untuk luluskan akta, berapa bulan lagi untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong. Saya tak tahu apa yang disasarkan untuk diambil (penangguhan) 3 bulan ini kerana majikah telah dimaklumkan beberapa bulan lalu.
“Beberapa syarikat telah pun memberi surat makluman kepada pekerja mereka (peraturan baharu).
“Bila masuk pelaksanaan, ini pula terjadi. Pihak majikan dengan ini telah ‘mencederakan’ mental pekerja dan memberi pula tekanan kepada pihak kerajaan.
“Namun saya tidak terkejut kerana kerajaan ini tak ada manifesto, kerajaan haprak Langkah Sheraton,” katanya.
Abdullah turut menolak tindakan kerajaan BN – PN melibatkan pihak majikan dalam perbincangan menangguhkan perlaksanaan pindaan Akta Kerja kerana ketika pindaan tersebut diluluskan hanya melibatkan pembuat dasar, bukannya majikan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan menggerakkan Biro Pekerja KEADILAN untuk mengadakan jelajah penerangan isu penangguhan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 itu agar rakyat memahami isu sebenar yang terjadi.
“Biro Pekerja peringkat parti kita akan buat kerangka yang lebih luas, dan selepas ini kita akan beri penerangan kepada pekerja melalui jelajah untuk diberi maklumat kepada pekerja.
“Mereka telah sampai ke tahap sesak nafas, selepas pandemik dan ekonomi yang lemah. Mereka tertekan kos sara hidup dan kini tidak pula dapat faedah yang telah diluluskan,” katanya lagi.